Monday, August 17, 2009

PMINT sampaikan anugerah untuk kakitangannya

Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) pada 11 Ogos 2009 mengadakan malam Mesra PMINT 2009 dan sempenanya diadakan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Penyampaian anugerah dibahagi kepada dua bentuk anugerah iaitu Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SSM 2009 untuk penilaian prestasi tahun 2008 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PMINT 2009.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah sambil meraikan majlis malam berkenaan yang dihadiri lebih 350 warga kerja PMINT.

Turut hadir ialah isteri Menteri Besar Puan Norliza binti Mahmud serta Setiausaha Kerjaan Negeri, Datuk Mohtar bin Nong dan isteri.

Seramai 20 orang warga kerja telah dipilih untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SSM yang ditentukan kuotanya iaitu hanya lapan peratus setahun daripada keseluruhan warga kerja sahaja yang layak menerima.


Manakala bagi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PMINT pula, seramai lima orang warga kerja telah berjaya dipilih. Pemilihan ini dibuat berdasarkan kriteria berikut iaitu terdiri daripada warga kerja yang telah berkhidmat melebihi 21 tahun dan pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang SSB dan SSM.

Pengurus Besarnya Datuk Zakaria Awang mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah.

”Saya harap dengan penganugerahan ini semua warga kerja akan sentiasa meneruskan usaha untuk sentiasa cemerlang dengan meningkatkan keupayaan pengetahuan serta kreativiti diri, ” katanya.

Beliau berharap kecemerlangan itu akan terus dikekalkan dan menjadi pendorong kepada kejayaan yang lebih besar pada masa akan datang.

Menurutnya, segala usaha yang dijalankan adalah bagi memastikan penyampaian perkhidmatan Kerajaan yang disampaikan memberikan kepuasan kepada rakyat.

Beliau menasihatkan seluruh warga kerja PMINT perlulah bekerja bersungguh-sungguh dan memberi komitmen dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti kerja pada setiap masa.

Katanya, PMINT sebagai sebuah Badan Berkanun Negeri yang memainkan peranan utama dalam memacu pembangunan ekonomi Negeri, warga kerja PMINT juga perlulah berintegriti dan sentiasa mengejar kecemerlangan diri.

”Saya suka mengingatkan di sini, dalam kita mengejar kecemerlangan dalam perkhidmatan hendaklah kita semua sedar bahawa elemen integriti perlu diperkasakan dalam diri setiap anggota perkhidmatan awam, ” katanya.

No comments:

Post a Comment