Monday, August 17, 2009

Ternakan udang tak jejas nelayan

Sumber: Berita Harian

Projek Ternakan Udang Bersepadu yang akan dilaksanakan di Sungai Chaluk, Setiu tidak akan menjejaskan sumber pendapatan nelayan kerana langkah kawalan bagi mengurangkan impak negatif terhadap alam sekitar sudah dirancang dan akan dilaksanakan dengan teliti.

Pengarah Perikanan negeri, Munir Mohd Nawi, berkata nelayan di kawasan itu tidak perlu risau akan kehilangan sumber mata pencarian.

Ini kerana pihaknya sudah menjalankan kajian terperinci terhadap semua aspek termasuk kesan ke atas alam sekitar dan menyediakan beberapa langkah kawalan bagi memastikan projek itu tidak mendatangkan kemudaratan kepada nelayan.

Beliau berkata, antara kaedah yang akan diguna pakai ialah sistem penyaluran air laut melalui paip bawah tanah dan teknologi pertukaran air kolam kerana ia terbukti tidak mempunyai impak jangka panjang terhadap hidrologi pantai dan tidak mengganggu pergerakan bot nelayan.

"Pada dasarnya, kebimbangan itu tidak berasas kerana tanpa projek ini sekalipun, air Sungai Chaluk selalu dimasuki air laut ketika air pasang dan ia tidak mengubah ekosistem sungai itu.

"Bagaimanapun, kita ambil juga langkah kawalan dan dua kaedah berkenaan dipilih kerana ia terbukti berjaya memelihara dan mengurangkan impak terhadap alam sekitar," katanya kelmarin.

Baru-baru ini, Berita Harian melaporkan mengenai kebimbangan nelayan darat di sekitar Penarek dan Sungai Chaluk yang khuatir pelaksanaan projek ternakan udang bersepadu di kawasan itu akan menjejaskan sumber pendapatan mereka pada masa depan berikutan pencemaran sisa makanan udang dan pembuangan air laut ke sungai.

Munir berkata, projek ternakan udang terbabit akan memberi banyak manfaat terutama kepada penduduk kerana ia menyediakan lebih 1,500 peluang pekerjaan sekali gus mengurangkan kebergantungan penduduk kepada sumber hasil sungai.

"Dengan pelaksanaan projek ini, seramai 1,500 penduduk akan mendapat keutamaan dalam pengisian pekerjaan dan kumpulan yang disasarkan adalah mereka yang berkelulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan ke atas.

"Justeru, ia akan mengurangkan pergantungan penduduk kepada aktiviti tangkapan ikan dan pengumpulan telur tuntung yang menjadi sumber mata pencarian utama mereka selama ini," katanya.

No comments:

Post a Comment