Sidang Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini meluluskan Enakmen Tanah Simpan Orang Melayu bagi membolehkannya dipindah atau dipindah milik kepada orang lain.
Bagaimanapun kuasa itu tidak menyeluruh kerana ia hanya membabitkan tanah milikan Melayu dan Persatuan Nelayan Setiu.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said berkata, dengan kelulusan itu akan membolehkan tanah Melayu di kawasan terbabit dimaju atau digadai untuk tujuan komersil.
Katanya, pemilik tanah hanya dibenarkan menggadai atau memindah milik kepada Persatuan Nelayan Setiu.
''Kaedah dan perincian mengenai cadangan itu akan ditentukan kemudian," katanya selepas sesi perbahasan pembentangan Enakmen Tanah Simpan Orang Melayu (Pindaan) 2009 di Kuala Terengganu semalam.
Mengenai pembangunan penduduk Pulau Duyung dan sekitar sebagaimana dibangkitkan Dr. Alias Razak (Pas-Bukit Tunggal) Ahmad Said berkata, projek pembinaan akan dimulakan apabila segala urusan termasuk pengambilan balik tanah selesai.
Katanya, pembinaan penempatan tentunya mengambil masa kerana ia membabitkan penduduk yang padat selain pengambilan balik tanah.
"Bila mahu diambil balik...tentunya penempatan baru akan disediakan.
"Salah satu kaedah ialah mendirikan penempatan di kawasan projek perumahan kerajaan yang baru disiapkan, saya harap penduduk bersabar kerana ia tetap dilaksanakan," katanya.
No comments:
Post a Comment