Thursday, August 6, 2009

Tender Jambatan Bukit Kuang akhir tahun

Tender pembinaan Jambatan Bukit Kuang di Kemaman akan dikeluarkan antara Disember hingga Januari tahun depan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said semalam memaklumkan, pembukaan tender itu dijelaskan kepadanya oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Datuk Jebasingam Issace John pada mesyuarat ECER di Kuantan kelmarin.

Beliau membuat permohonan supaya sedikit pindaan dilakukan pada pelan struktur jambatan agar lebih tinggi bagi membolehkan bot besar dapat melalui di bawahnya tanpa sebarang masalah.

“Ketinggiannya mungkin mencapai kira-kira 15 meter,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Wisma Darul Iman, di Kuala Terengganu, semalam.

Melalui ECER, Kerajaan Negeri turut membuat permohonan pembinaan jalan sepanjang enam kilometer di kawasan perindustrian Teluk Kalong, Kemaman dan ia telah dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Disebabkan kawasan perindustrian ini mempunyai kilang besar yang baru diluluskan, jalan empat lorong amat diperlukan kerana dianggarkan lebih 1,000 lori akan bergerak melalui jalan itu dalam tempoh sehari nanti,” katanya.

Ahmad Said turut memaklumkan Kerajaan Negeri akan mewujudkan kawasan agropolitan di Besut dan Setiu sebagai usaha meningkatkan pengeluaran makanan di negeri ini.
Ia selaras dengan matlamat ECER yang mahukan pertanian menjadi salah satu bidang penting dalam pembangunan wilayah berkenaan.

Setakat ini, kita telah mengimport 400 ekor kambing dan akan ditempatkan di Telaga Papan, Setiu,” katanya.

No comments:

Post a Comment