Tuesday, August 11, 2009

Terengganu guna MySMS 15888

Sumber: Utusan Malaysia

Terengganu memperkenalkan perkhidmatan baru menerusi Gerbang Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) Kerajaan Negeri, MySMS 15888 bermula semalam dalam usahanya meningkatkan jentera pentadbiran negeri secara lebih efisien.

Sistem itu dilancarkan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Said sekali gus menjadikan Terengganu negeri kedua selepas Perak yang memperkenalkan kaedah tersebut sehingga kini.

Ahmad Said berkata, perkhidmatan seumpama itu membolehkan rakyat di negeri ini mendapat lebih banyak pilihan dalam meningkatkan lagi mutu perkhidmatan kerajaan.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, pelaksanaan itu bukan bermakna sistem atau perkhidmatan sedia ada tidak lagi berkesan.

"Khidmat SMS ini diharap dapat memberi lebih banyak pilihan kepada rakyat menggunakan SMS secara selaras dengan menggunakan nombor 15888.

"Tak semestinya sistem sedia ada tidak bagus, lebih banyak saluran lebih bagus," katanya pada sidang akhbar di Kuala Terengganu semalam.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (SUK), Datuk Mokhtar Nong dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), Datuk Normah Yusof.

Khidmat SMS itu dikendalikan sepenuhnya oleh MAMPU yang berpusat di ibu negara manakala urusan perkhidmatannya pula oleh agensi-agensi terlibat.

Sementara itu, Normah pula berkata, sistem tersebut sudah setahun diperkenalkan di peringkat Pusat sebelum diperluaskan ke negeri-negeri.

"Selepas setahun diperkenalkan, sudah 85 agensi menggunakannya dan sekarang ada 1,326 jenis perkhidmatan yang menggunakan nombor rasmi kerajaan 15888," ujarnya.

No comments:

Post a Comment