Monday, August 17, 2009

Ujian air kencing elak gejala dadah di sekolah

Oleh Hamid Salleh (Berita Harian)

Kerajaan negeri yang bimbang dengan peningkatan gejala penyalahgunaan dadah di kalangan pelajar sekolah melaksanakan pelbagai langkah pencegahan, termasuk memperbanyakkan pemeriksaan air kencing secara rambang.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perpaduan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dr Abdul Rahman Mokhtar, berkata ujian air kencing yang sudah dilaksanakan terhadap 700 pelajar di kawasan yang terdedah dengan kegiatan penyalahgunaan dadah mendapati 56 pelajar positif dadah.

Beliau berkata, kebanyakan pelajar terbabit mengambil pil kuda tetapi setakat ini belum ada kes membabitkan pengambilan heroin, mofin dan syabu.

"Jumlah pelajar terbabit dengan dadah cukup ramai dan perlu diberi perhatian supaya ia tidak menular di kalangan pelajar lain," katanya selepas perasmian penutup Hari Antidadah Antarabangsa peringkat Negeri Terengganu di Dataran Shahbandar baru-baru ini.

Dr Abdul Rahman berkata, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu bersama Jabatan Pelajaran negeri mengumpul semua pelajar berisiko tinggi untuk menjalani ujian air kencing bagi mengesan mereka yang terbabit dengan dadah.

"Saya sungguh terkejut dengan jumlah pelajar sekolah di negeri ini yang terbabit dengan dadah, justeru semua pihak terutama ibu bapa perlu memainkan peranan dengan mengambil berat mengetahui pergerakan anak mereka," katanya.

Beliau berkata, semua ibu bapa pelajar terbabit dipanggil dan memberitahu mengenai masalah anak mereka yang mengambil dadah.

Dr Abdul Rahman berkata, pengedar dadah dipercayai mengumpan pelajar sekolah menengah dengan memberikan dadah secara percuma supaya menjadi penagih.

"Apabila pelajar sudah menjadi penagih, barulah dadah itu dijual dengan harga tinggi dan menyebabkan pelajar tidak ada pilihan untuk mendapatkan wang untuk membelinya dengan mencuri atau memeras wang keluarga," katanya.

Katanya, AADK bersama Jabatan Pelajaran akan terus mengadakan ujian air kencing di kalangan pelajar berisiko tinggi untuk mengesan jumlah pelajar terbabit dengan dadah.

Beliau berkata, seramai 1,499 kes pemulihan dalam komuniti di negeri ini sedang diaturkan agensi itu dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

No comments:

Post a Comment