Wednesday, September 16, 2009

4,505 terima RM24j dividen Felcra

Seramai 4,504 peserta Felcra Berhad di Terengganu mendapat manfaat apabila agensi tersebut mengisytiharkan pemberian dividen kepada pesertanya sebanyak RM24.62 juta.

Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, pemberian dividen tersebut adalah sebagai usaha dan galakan kepada peserta Felcra Berhad di atas kepercayaan mereka kepada agensi tersebut untuk memajukan tanah mereka.

Katanya, walaupun prestasi kemajuan agak lembap pada tahun ini, Felcra Berhad dijangka dapat mengimbangi cabaran kelembapan ekonomi itu dengan kemajuan projek di bawah pengurusan agensi berkenaan.

"Berdasarkan komitmen staf dan peserta sendiri, terdapat projek yang mencatat pemberian dividen yang memberangsangkan.

"Contohnya seperti projek getah di Limau Nipis di mana sebanyak RM11,234.27 diperoleh dan dividen per hektar sebanyak RM4,354.37 manakala projek kelapa sawit pula di Alor Lintah sebanyak RM31,570.22 iaitu dividen per hektar sebanyak RM3,692.42," katanya kepada pemberita di Wakaf Tapai, Marang semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Rozi Mamat.
Mengulas lanjut, Tajuddin berkata, walaupun terdapat sedikit penurunan jumlah dividen tahun ini namun jumlah tersebut masih lumayan.

Jelasnya, penurunan tersebut berlaku akibat kemerosotan pengeluaran dan permintaan kelapa sawit seluruh dunia.

"Kemerosotan permintaan kelapa sawit tersebut bukan sahaja menjejaskan ekonomi di negara ini malah di seluruh dunia.

"Jadi ia bukanlah satu perkara yang serius memandangkan Felcra Berhad masih mampu memberikan dividen yang tinggi kepada pesertanya setiap dua kali setahun," jelasnya.

No comments:

Post a Comment