Wednesday, September 16, 2009

Harga barang keperluan terkawal hingga raya

Sumber: Utusan Malaysia

Semua harga barang yang tersenarai dalam Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa di Negeri Terengganu masih terkawal.

Ia melibatkan 17 barangan keperluan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini termasuk antaranya ayam hidup, telur, cili merah, ikan kembung dan bawang.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Terengganu, Mohd. Hilmi Mohd. Noor berkata, ia adalah hasil usaha penguatkuasaan yang dijalankan bagi mengawal harga serta keperluan barangan tersebut di musim perayaan yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Katanya, bagi memastikan bekalan keperluan sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri mencukupi serta di bawah kawalan harga yang telah ditetapkan, KPDNKK Terengganu melancarkan Operasi Kawalan Harga bermula 13 hingga 27 September ini.

"Sejak operasi tersebut dilaksanakan tiga hari lalu, hanya tujuh kes yang didapati di mana kesemua kesalahan hanya melibatkan kegagalan mengggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu (pink plate).

"Kesalahan tersebut diletakkan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Harga (Perlesenan) 2000 dan jika didapati bersalah peniaga boleh dikenakan tindakan kompaun minimum tidak kurang RM100 dan maksimum sehingga RM7,500," katanya dalam operasi penguatkuasaan Skim Kawalan Harga di Pasar Payang semalam.

Seramai 30 pegawai yang turut serta dalam operasi berkenaan yang diadakan sejak pukul 12 tengah hari hingga 4 petang itu di kesemua pasar basah di sekitar Terengganu.

Mengulas lanjut, Mohd. Hilmi berkata, pihaknya akan melaksanakan pemantauan dari semasa ke semasa.

Ujarnya, kesemua anggota penguatkuasaan diarahkan memantau harga barangan tersebut sehingga perayaan.

"Pada tahun ini kita tidak memberi cuti kepada semua pegawai penguatkuasaan kerana mereka perlu menjalankan penguatkuasaan sehingga 1 Syawal.

"Justeru, saya menasihati para peniaga agar tidak menaikkan harga sesuka hati bagi mengelakkan mereka didenda," jelasnya.

Tambahnya, pengedaran lesen bagi Skim Kawalan Musim Perayaan 2009/ 2010 juga telah diedarkan kepada peniaga seluruh negeri.

"Bagi cawangan Kuala Terengganu sebanyak 1008 lesen runcit dan 66 lesen borong telah diedarkan manakala cawangan Kemaman pula sebanyak 361 lesen runcit dan 18 lesen borong.

"Bagi cawangan Besut sebanyak 389 lesen runcit dan 36 lesen borong manakala cawangan Dungun sebanyak 207 lesen runcit dan 35 lesen borong," jelasnya.

No comments:

Post a Comment