Akademi Kepimpinan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) yang kini 90 peratus siap di Batu Rakit dekat sini bakal menjadi kompleks GPMS termoden di negara ini.
Timbalan Presiden GPMS, Syed Anuar Syed Mohamad berkata, akademi yang menelan kos RM8.1 juta itu dijangka siap sepenuhnya Oktober tahun depan dan bakal berperanan sebagai kilang bagi melahirkan pemimpin akan datang.
Beliau menjelaskan, akademi berkenaan merupakan yang kedua seumpama itu di negara ini selepas penubuhan kompleks pertama di Perak.
"Ini adalah akademi kedua di Malaysia selepas yang pertama dibina di Perak dan akademi di Terengganu ini berkonsepkan paling moden di negara ini," katanya selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said yang melawat projek pembinaan akademi berkenaan di sini semalam.
Syed Anuar memberitahu, akademi tersebut bakal menempatkan dua blok asrama yang mampu memuatkan 300 orang pada satu-satu masa selain dewan makan besar dan dewan perhimpunan.
"Fasa pertama pembinaan bermula pada 2007 dan fasa kedua pula pada tahun lalu, ia sepatutnya siap Februari depan tetapi dijangka lewat Oktober depan," ujarnya.
Sebaik siap kelak, akademi berkenaan bukan sahaja mampu melahirkan para pemimpin GPMS malah beberapa ruang premisnya juga akan disewa kepada agensi-agensi atau orang awam.
No comments:
Post a Comment