Monday, September 7, 2009

Bumiputera perlu intai peluang di Uptown Market

Sumber: Sinar Harian

Bumiputera yang mengintai peluang perniagaan boleh menarik nafas lega apabila kewujudan Uptown Market di tengah bandar Dungun memberi ruang kepada mereka menceburi bidang keusahawanan.

Pengurus Besar Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPUT), Azmi Razik berkata, dengan adanya Uptown Market itu, pengusaha tempatan juga dapat memasarkan produk Keluaran mereka dengan lebih mudah, sekali gus dapat menjana pendapatan untuk meningkatkan ekonomi keluarga.

“Sejak beroperasi tiga bulan lalu, setiap peniaga yang menjalankan perniagaan mereka di sini mampu meraih pendapatan antara RM350 hingga RM2,100 sehari.

“Sehingga kini, sebanyak RM416,000 berjaya dikutip peniaga hasil penjualan produk di pasar ini. Ia adalah jumlah yang tinggi dan melihat idea mewujudkan pusat perniagaan berkonsepkan pasar rakyat ini mula menampakkan hasil,” katanya \ sempena perasmian Uptown Market dan pelancaran Sahabat Usahawan Terengganu Cawangan Dungun, kelmarin.

Uptown Market adalah pusat perniagaan berkonsepkan pasar rakyat yang mirip kepada pasar malam.

Lokasinya di tengah pusat bandar Dungun iaitu hadapan pasar buah di Jalan Kuala Terengganu - Kuantan.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun, Zainal Abidin Hussin mewakili Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Zaa’bar Mohd Adib.

Sementara itu, Zainal dalam ucapan ringkasnya berkata, kewujudan Uptown Market dilihat sebagai satu ikon baru kepada Bandar Dungun.

“Dengan adanya Uptown Market ini, kami harap ia dapat menceriakan Bandar Dungun yang agak suram pada waktu malam.

“Pihak MPD akan menyediakan segala keperluan bersesuaian untuk membantu peniaga supaya Uptown Market ini menjadi ikon pelancongan terkenal,” katanya.

No comments:

Post a Comment