Sumber: Sinar Harian
Sempena meraikan Tahun Astronomi Antarabangsa 2009 (IYA ‘09), Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) memperkenalkan Program MyPSKT sepanjang tahun ini bertemakan ‘Jom Terokai Sains’.
Pegawai Sains PSKT, Siti Noor Syarma Mohd Sharif berkata, program itu akan membawa pengunjung menikmati keseronokan sains tanpa rasa jemu dan membosankan.
“Program MyPSKT menjadi platform kepada kami dalam usaha meningkatkan kesedaran, pemahaman dan kreativiti terhadap bidang sains serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) kepada masyarakat melalui pelbagai bahan pameran interaktif serta aktiviti menarik.
“Bersesuaian dengan tema ‘Jom Terokai Sains’, pengunjung akan dibawa meneroka keajaiban sains melalui tayangan filem di Planetarium, Galeri Sains PSKT dan aktiviti sains yang menarik serta menghiburkan,” katanya di Kuala Terengganu.
Menurutnya, di Galeri Sains PSKT, pengunjung dibawa menjelajah alam sains menakjubkan dan menyeronokkan, selain berkesempatan bermain sambil belajar serta meneroka pelbagai konsep dan prinsip sains yang terdapat pada setiap bahan pameran.
“Pengunjung juga berpeluang mengembara ke alam sains yang penuh misteri menerusi tayangan filem animasi tiga dimensi (3D) di Dome Planetarium PSKT. Dua filem menarik itu adalah ‘Infinity Express’ dan ‘The Origins of Life’.
“Selain tayangan filem ‘full-dome’ di planetarium, kami turut menyediakan pakej pelbagai tayangan filem fiksyen sains lain bertempat di bilik tayangan galeri PSKT,” katanya.
Menurut Siti Noor Syarma, pihaknya turut menyediakan kemudahan pembelajaran astronomi dan pengunjung berpeluang menyaksikan simulasi langit seperti gerhana matahari annular yang berlaku pada 26 Januari lalu dan gerhana matahari penuh, 22 Julai lalu.
“Program MyPSKT ini bukan sahaja menyasarkan pelajar dan guru peringkat prasekolah, sekolah rendah serta menengah, malah ia juga bersesuaian dengan pelbagai peringkat umur.
"Kami amat mengalu-alukan kedatangan pengunjung dari luar Terengganu,” katanya.
No comments:
Post a Comment