Tuesday, September 1, 2009

Dana hari raya RM5.1 juta agih serentak di empat DUN

Sumber: Sinar Harian

Pengagihan Dana Hari Raya 2009 di daerah ini akan diadakan serentak di empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 1 hingga 9 September ini membabitkan jumlah kira-kira RM5.1 juta.

Pegawai Daerah, Wan Mohd Wan Ibrahim berkata, setiap DUN menetapkan lokasi masing-masing untuk pengagihan wang sumbangan daripada Kerajaan Negeri itu.

Menurutnya, di DUN Kuala Besut, pembayaran dibuat pada esok hingga 3 September di Dewan Seri Seratus, sementara 8 dan 9 September di Dewan Kampung Bharu.

Semua mukim di DUN Kota Putera akan menerima bayaran yang dilakukan di Pejabat Penyelaras DUN berkenaan di Kampung Raja.

Sementara bagi DUN Hulu Besut pada 1 hingga 3 September di pejabat penyelarasnya di Cegar Batang, Pasir Akar dan pada 8 dan 9 September di Dewan Felda Tenang.

DUN Jertih pula, pengagihan dibuat pada 8 September di Dewan Majlis Daerah Gong Kemuntong.

“DUN Kota Putera menyaksikan bilangan penerima paling ramai, iaitu 6,222 orang membabitkan sejumlah RM1.9 juta, diikuti DUN Kuala Besut, 5,897 orang (RM1.8 juta); DUN Hulu Besut 5,380 orang (RM1.65 juta) dan DUN Jertih seramai 5,128 melibatkan jumlah RM1.58 juta,” katanya.

Wan Mohd berkata, urusan pembayaran wang dana hari raya itu dilakukan pejabat penyelaras DUN masing-masing.

No comments:

Post a Comment