Tuesday, September 1, 2009

RAKYAT DI HATIKU…

Kanak-kanak penyakit jantung berlubang tunggu dibedah
Perhatian dan tindakan cepat Menteri Besar, Datuk Ahmad Said selepas kisah seorang kanak-kanak pesakit jantung berlubang disiarkandi akhbar menggambarkan betapa caknanya beliau kepada masalah rakyat.

Ini sangat bermakna kepada Haryati Mohd Fauzi, 32, dan suaminya Mansor Embong, 39, apabila penderitaan anak kesayangan mereka, Muhamad Ayub, 7, yang menghidap penyakit jantung berlubang mendapat perhatian kerajaan negeri.

Jika sebelum ini hanya RM6,000 berjaya dikumpul bagi membiayai rawatan Muhamad Ayub, lawatan Ahmad membawa cahaya kepada Haryati dan Fauzi melihat anak mereka mendapatkan rawatan yang sepatutnya dan membesar dengan cergas seperti kanak-kanak lain.

Malah Ahmad yang mengunjungi Muhamad Ayub di kediaman mereka di Kampung Simpang Tokku, turut memberikan jaminan kerajaan negeri akan menanggung semua kos pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) yang dianggarkan mencecah RM30,000.

Penderitaan Muhamad Ayub dikesan sejak dia berusia dua minggu selepas dilahirkan tujuh tahun lalu dan mula mendapatkan rawatan di IJN sejak berusia enam bulan.

Ahmad Said yang datang bersama isteri, To' Puan Norliza Mahmud berkata, beliau akan meminta semua butiran termasuk rekod pemeriksaan bagi membolehkan tindakan diambil secepat yang mungkin.

"Kerajaan negeri akan menanggung sepenuhnya semua kos perubatan dan pembedahan diperlukan kerana saya difahamkan sebelum ini pembedahan terpaksa ditangguhkan kerana IJN terpaksa mengutamakan pesakit yang kronik terlebih dulu.

"Bagaimanapun kami akan menulis surat kepada IJN bagi memohon pembedahan dapat dipercepatkan," katanya.

Mansor berkata beliau hanya mampu berterima kasih dan bersyukur berkat rahmat Ramadan, ada pihak yang sudi mengambil berat dan prihatin dengan nasib yang dilalui anaknya itu.

"Saya juga amat berharap agar pembedahan segera dapat dilakukan kerana mahu melihat Muhamad Ayub membesar sama seperti kanak-kanak lain dan dapat bersekolah seperti biasa," katanya yang turut mempunyai seorang lagi anak berusia 10 tahun, Nur Adibah Mansor.

Sebelum ini Muhamad Ayub turut menerima bantuan melalui Tabung Darul Iman sebanyak RM550 di sampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Toh Chin Yaw di Masjid Abidin, Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment