Sunday, September 6, 2009

Gelombang royalti kedua tuntut janji

Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) akan mengadakan program gelombang royalti kedua dalam masa terdekat ini kerana mendakwa wang royalti petroleum belum diperoleh sepenuhnya seperti dijanjikan.

Pengerusi Mampat, Mohamad Fauzi Abu Samah berkata, pihaknya turut berasa hairan kerana sehingga kini rundingan masih belum selesai antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat menyebabkan penyelesaian berhubung wang itu tertangguh sehingga kini.

“Kerajaan Negeri juga akan menarik kes saman royalti minyak di mahkamah. Ini adalah sesuatu yang tidak kena.

“Mampat dimaklumkan bahawa sehingga kini Kerajaan Negeri masih belum mendapat bayaran royalti seperti yang telah dijanjikan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi,” katanya selepas Mesyuarat Agung Mampat di Ibai Golf Resort, di sini, kelmarin.

Mengulas lanjut, Mampat menganggap persoalan itu sebagai permainan tarik tali antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri.

Sehubungan itu katanya, Mampat turut meminta supaya pembayaran wang royalti petroleum dibayar terus ke dalam akaun bersatu Kerajaan Negeri dan bukan kepada Kerajaan Pusat.

“Mampat akan meneruskan usaha menggerakkan kembali Gelombang Rakyat Terengganu untuk mendesak kerajaan Pusat mengembalikan hak dan maruah rakyat negeri ini iaitu royalti.
Jangan nanti rakyat Terengganu menggelar Kerajaan Pusat sebagai ‘Kerajaan Lebong’ atau ‘Kerajaan Kluk Klek,” katanya.

No comments:

Post a Comment