Sunday, September 6, 2009

Kes Mercun: Kenapa tidak serik-serik - tiga lagi putus jari

Aidilfitri yang bakal tiba dua minggu lagi mungkin tidak bermakna buat dua remaja dari Marang dan Besut yang masing-masing hilang antara empat hingga lima jari tangan angkara mercun buatan sendiri yang meletup dalam kejadian berasingan Khamis lalu dan semalam.

Kejadian pertama berlaku jam 2.30 petang Khamis lalu di Besut menyebabkan Mohd Hafizi Mohd Ariffin, 18, dari Kampung Tok Dor, hilang semua jari tangan kirinya, pergelangan tangan berlubang dan muka cedera apabila mercun buatan dihasilkannya tiba-tiba meletup dan nyaris menyebabkan rumahnya turut terbakar.


Mangsa bersama adiknya berusia 15 tahun sebelum itu sedang memasukkan batang besi panas ke dalam paip berisi belerang dalam bilik tidur rumah mereka dengan hasrat untuk memaksimumkan bunyi letupan mercun berkenaan apabila secara tiba-tiba bahan itu meletup.

"Saya terus rebah ke lantai dalam keadaan berlumuran darah, jari hancur dan pergelangan tangan berlubang... percikan letupan juga terkena muka hingga cedera. Tak sangka ia terus meletup sehingga saya menerima nasib malang ini," katanya ketika ditemui di Hospital Besut, di sini semalam.

"Sekarang baru saya tahu akibat perbuatan ini. Saya sudah serik dan tak mahu ia berulang kepada saya dan orang lain. Saya berharap kejadian malang ini dapat menjadi pengajaran kepada orang lain, terutama kanak-kanak dan remaja yang suka mencuba perkara dilarang," katanya.

Dalam kejadian berasingan kira-kira jam 9 pagi semalam di Marang, pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sawa, Wan Amirul Faiz Wan Abdullah mungkin hilang empat jari, juga akibat terkena letupan mercun buatan sendiri di Kampung Binjai Rendah.

Kejadian menyebabkan tulang jari manisnya hancur, manakala jari telunjuk, hantu dan anak jari mungkin dipotong akibat jangkitan kuman selepas cedera apabila mercun buatannya meletup ketika api yang dinyalakan untuk memasang mercun itu dipercayai menyambar belerang yang bertaburan di atas tanah.

Kakak mangsa, Wan Nur Syafira, 22, berkata adiknya bersama sekumpulan remaja lain bermain mercun buatan sendiri di padang permainan berhampiran rumah dan dikatakan memasukkan belerang ke dalam kertas untuk menghasilkan bunyi mercun yang kuat.

"Tangan adik dipercayai terkena letupan selepas api menyambar sumbu yang dipasang sendiri. Dia bersama beberapa rakannya dikata memecahkan belerang daripada mercun bola untuk dimasukkan ke dalam beberapa bekas dan botol hingga padat bagi menghasilkan bunyi terkuat.

"Bagaimanapun, ketika cuba menyalakan mercun berkenaan, api dipercayai menyambar belerang yang bertaburan di atas tanah menyebabkan mercun meletup tanpa diduga," katanya.

No comments:

Post a Comment