Thursday, September 17, 2009

Masjid Rusila lancar kempen derma darah kali keenam

Sumber: Sinar Harian

Jika pihak lain lebih terbiasa dengan memberi bantuan berbentuk barangan dan wang kepada golongan yang kurang bernasib baik setiap kali Ramadan, Masjid Rusila pula mengambil pendekatan berbeza iaitu mengadakan program derma darah.

Lebih membanggakan, program berkenaan adalah kali keenam dianjurkan setiap kedatangan Ramadan.

Pengerusi Masjid Rusila, Omar Mohamad berkata, pihaknya mengambil pendekatan itu berikutan keperluan untuk mengisi tabung darah di hospital sentiasa meningkat pada Ramadan, khususnya menjelang perayaan.

“Kita melihat sumbangan berbentuk derma darah ini sangat diperlukan dan pada masa sama, kita dapat membantu menyelamatkan nyawa dengan darah yang didermakan.

“Selain itu, bagi mereka yang kurang berkemampuan, bantuan dalam bentuk derma darah ini adalah jalan terbaik membantu mereka yang sangat memerlukan,” katanya.

Seramai 50 individu menderma darah dan 10 petugas Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu terbabit pada Program Derma Darah Perdana yang diadakan di Masjid Rusila itu.

Omar berkata, program yang bermula jam 9.30 hingga 12 tengah malam itu mendapat sambutan menggalakkan dan melebihi sasaran.

“Pihak pengurusan masjid berasa bangga dengan keprihatinan orang ramai, khususnya Unit Amal dan pemuda serta golongan wanita yang turut sama menyumbang dengan menderma darah.

“Sumbangan ini bagi saya amat bermakna kepada mereka yang sangat memerlukan. Insya-Allah, kita akan teruskan program ini pada masa akan datang demi kepentingan orang ramai,” katanya.

No comments:

Post a Comment