Tuesday, September 1, 2009

Kuala Nerus jadi daerah baharu

Kerajaan negeri berhasrat menjadikan Kuala Nerus sebagai satu daerah yang baru bagi memajukan kawasan berkenaan.

Katanya, Kuala Nerus yang terletak dalam daerah Kuala Terengganu boleh dijadikan sebuah daerah selepas ia diluluskan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Buat masa ini kita mencari satu tapak yang sesuai bagi dijadikan pusat pentadbiran Kuala Nerus apabila ia diisytiharkan menjadi daerah baru kelak," kata Datuk Ahmad Said.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Berbuka Puasa Perdana Bersama Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Mohd Nasir Ibrahim Fikri, di sini.

Sebelum ini pada 2 Ogos lalu, kerajaan Terengganu diminta supaya memulakan segera pembinaan jambatan yang menghubungkan Kampung Teluk Pasu-Pulau Sekati-Losong bagi mengurangkan kesesakan lalu-lintas di Jambatan Sultan Mahmud.

Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, meskipun kerajaan mengumumkan pembinaan jambatan itu sejak empat tahun lepas, namun sehingga kini jambatan itu belum menjadi kenyataan.

"Kita sudah tiga empat tahun bercakap mengenai pembinaan jambatan itu yang sepatutnya siap pada 2010 kerana kapasiti Jambatan Sultan Mahmud hanya mampu menampung maksimum kenderaan setakat 2010," katanya di sini semalam.

Mohd. Nasir berkata, pembinaan jambatan itu sangat perlu kepada penduduk di kawasan-kawasan berkenaan kerana di Kuala Nerus, terdapat beberapa kepentingan awam seperti lapangan terbang, kompleks sukan dan pusat pengajian tinggi.

"Sehubungan itu, kita juga mencadangkan agar kerajaan membina sebuah lagi jambatan yang akan menghubungkan antara Seberang Takir dan Bandar Kuala Terengganu sendiri," katanya.
Beliau berkata, jika jambatan baru tidak dibina, kesesakan teruk akan berlaku apabila berlaku kemalangan di jambatan sedia ada.

No comments:

Post a Comment