Tuesday, September 1, 2009

Sambutan Merdeka Tetap Meriah

Sumber Utusan & UKOM

Walaupun sambutan kemerdekaan tahun ini disambut dalam skala kecil, ia tidak bermakna semangat patriotisme turut mengalami 'tempias' yang sama di kalangan penduduk bandar raya ini.
Ia dapat dilihat apabila detik menjelang 52 tahun kemerdekaan negara ini disambut dengan meriah oleh 1,000 penduduk Kuala Terengganu yang menghadiri program Sahur Rakyat di Waterfront Balik Bukit, Pulau Kambing di malam semalam.
Program anjuran UMNO Bahagian Kuala Terengganu itu bermula pada pukul 11.30 malam iaitu setengah jam sebelum detik kemerdekaan negara.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bersama penduduk Kuala Terengganu menghadiri majlis berbuka puasa Merdeka di pekarangan Masjid Tengku Tengah Zaharah Kuala Ibai.
Majlis tahlil dan bacaan surah Yasin turut diadakan pada program tersebut.















Dato' Ahmad, YB Ahmad Razif dan ketua jabatan membaca Yasin pada majlis bacaan Yasin dan Tahlil sempena Kemerdekaan ke 52 di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai. -Foto SHUHAIMI AHMAD


Sebahagian ketua jabatan dan orang ramai yang hadir pada majlis bacaan Yasin dan tahlil sempena sambutan Kemerdekaan ke 52 di Masjid Tengku Tengah Zaharah, Kuala Ibai.

Sejurus selesai acara berkenaan, lebih 1,000 rakyat yang hadir kemudiannya menikmati majlis Jamuan Berbuka Rakyat dan selesai kira-kira sejam kemudian.

Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Ahmad Said; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mokhtar Nong; Exco-Exco dan pemimpin masyarakat.

Sementara itu, Program Sahur Rakyat Merdeka peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Terengganu turut dilaksanakan dengan pengisian dan pelbagai acara bagi menyemarakkan lagi sambutan kemerdekaan.

Di Dataran Taman Tema Waterfront Balik Bukit, Kuala Terengganu lebih 1,000 rakyat khususnya dari sekitar Kuala Terengganu berkampung di situ sejak jam 11.30 malam hingga jam 1 pagi bagi menyertai pelbagai acara yang disediakan.

Majlis anjuran Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT) dan UMNO Bahagian Kuala Terengganu diserikan dengan sambutan memotong kek hari lahir kemerdekaan negara.

Dua tetamu bertuah, Rozy Mohd Rosidi, 38 dan Wan Muliadi Wan Efendi, 31, menjadi tetamu istimewa apabila dijemput ke pentas utama untuk meraikan sambutan hari lahir mereka yang berkongsi dengan tarikh sambutan kemerdekaan negara.

Hadir sama memeriahkan majlis, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Alam Sekitar negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, YB Toh Chin Yaw; Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Dato’ Wan Ahmad Farid Wan Salleh; Timbalan Ketua UMNO bahagian, Encik Mohd Sabri Alwi dan Naib Ketua UMNO bahagian, Dato’ Wan Hisham Wan Salleh.

Sejurus kemudian, hadirin dihiburkan dengan persembahan deklamasi sajak kemerdekaan dan koir lagu patriotik sebelum mereka menikmati juadah bersahur di khemah yang disediakan.

Pada masa yang sama, di Besut dan Setiu, sambutan diadakan di Dewan Terbuka Penyelaras UMNO DUN Kota Putera Kampung Raja (Kota Putera); Pejabat DUN Hulu Besut (Hulu Besut); Dataran Kuala Besut (Kuala Besut) dan Depan Pejabat APMT, Pekan Renek (Jabi).

Manakala bagi DUN Permasuri, sambutan dijalankan di Perkarangan Stesen Bas Permaisuri Dataran Pengkalan Masjid Telong (Langkap) dan Dataran Bestari Batu Rakit.

Sementara di Parlimen Kuala Nerus, acara diadakan di Dewan Sivik Buluh Gading dan Dataran Bukit Tunggal.

Sambutan di Marang pula diadakan di perkarangan Masjid Kampung Surau Haji Daud (Bukit Payong); perkarangan Masjid Sultanah Nur Zahirah (Rhu Rendang); Pejabat Khidmat Masyarakat DUN Wakaf Tapai (Pengkalan Berangan) dan Pejabat penyelaras Pulau Bahagia (Manir).

Di Hulu Terengganu, majlis berlangsung di Pejabat Penyelaras Pulau Bahagia (Manir); Tapak pasar Malam Kg Kuala Telemong (Telemong); perkarangan Masjid Kampung Pengkalan Ajal (Ajil) dan Dataran Kampung Getang (Kuala Berang).

Manakala di Dungun, sambutan di depan Masjid Serdang (Rantau Abang); Dewan Terbuka Sekolah Menengah Paka (Paka) dan bangunan kedai persimpangan Bukit Besi (Bukit Besi).

Sebahagian penduduk mengambil juadah bersahur pada Majlis Sahur Rakyat di Waterfront, Balik Bukit, Kuala Terengganu.

No comments:

Post a Comment