Wanita warga Thailand berusia 34 tahun ditahan dalam serbuan polis diketuai Inspektor Mohd Nor Ariedzuan Ariffin di rumah suspek di Kampung Alor Makbah, di Dungun, kira-kira jam 1 pagi kerana menyimpan pelbagai jenis mercun dan bunga api dianggarkan bernilai RM5,000.
Timbalan Ketua Polis Dungun, Deputi Superintendan Ismail Abdullah, berkata kejayaan rampasan mercun dan bunga api terbesar di daerah ini hasil maklumat awam.
“Ketika serbuan dilakukan di rumah berkenaan, terdapat tiga lelaki, dua daripadanya warga Thailand, seorang dengan taraf penduduk tetap dan seorang wanita.
“Bagaimanapun, kami terpaksa menahan wanita mengandung tujuh bulan itu kerana hasil soal siasat ke atas tiga lagi suspek di rumah itu mengatakan mercun yang terdapat di dalam bilik rumah itu dipercayai miliknya,” katanya pada sidang media di IPD Dungun, pagi kelmarin.
Menurut Ismail, suspek yang mempunyai empat anak berusia tujuh hingga 12 tahun itu kini sudah hampir setahun menetap di Dungun.
Rampasan itu adalah terbesar pada Ramadan kali ini. Antara jenis mercun yang dirampas termasuklah 77 kotak jenis ‘Duck Kamajang B18’, ‘Happy Boom’, ‘Dancing Frogs’, ‘Smoke Ball’ dan pelbagai jenis lain, semuanya jika dijual di pasaran bernilai kira-kira RM5,700.
Suspek ditahan reman selama dua hari untuk membantu siasatan dan akan menghadapi pendakwaan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 jika sabit kesalahan boleh dijatuhkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak lebih tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.
No comments:
Post a Comment