Thursday, September 3, 2009

Mohon terus dengan kerajaan negeri, MB

Kerajaan Negeri atau Menteri Besar, Datuk Ahmad Said boleh mempertimbangkan permohonan Persatuan Orang Cacat Penglihatan Malaysia cawangan Terengganu untuk mendapatkan bantuan kewangan.

Ia bagi menjalankan pelbagai aktiviti untuk golongan tersebut.

Pengerusinya, Mohd. Abdul Nasir Malik berkata, persatuan yang mempunyai lebih 200 keahlian itu sejak ditubuhkan beberapa tahun lalu hanya menerima bantuan kewangan daripada ibu pejabat persatuan itu sebanyak RM3,000 setahun.

Mungkin Exco Kebajikan, Pembangunan Masyarakat dan Wanita Negeri, Ashaari Idris boleh melihat masalah ini.

Adalah baik jika Abdul Nasir berjumpa atau berbincang dengan Ashaari daripada mendedahkan dalam akhbar untuk bantuan kerajaan negeri atau Menteri Besar.

Perundingan adalah jalan terbaik dan pastinya kerajaan yang mendahului rakyat akan prihatin kepada masalah perstuan orang buta ini.

Menurut Abdu Nasir, semua perbelanjaan untuk aktiviti persatuan hanya menggunakan bantuan kewangan tersebut menyebabkan aktiviti yang dirancang sangat terhad.

Menurut beliau, sejak tiga bulan lalu, mereka tidak dapat menjalankan sebarang aktiviti kerana tidak menerima bantuan kewangan tersebut apabila ibu pejabat persatuan itu kini mengalami kekurangan bantuan kewangan.

''Kami amat berharap orang ramai terutama syarikat swasta dan kerajaan negeri dapat membantu untuk membolehkan kami melaksanakan beberapa aktiviti dalam meningkatkan kualiti hidup golongan cacat penglihatan di negeri ini.

''Selain itu, bantuan kewangan itu juga diperlukan untuk menyelenggara rumah persatuan itu di Seberang Takir di sini," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, pihaknya merancang untuk menjadikan rumah persatuan tersebut sebagai pusat kraftangan yang diperbuat daripada kertas.

''Kebanyakan ahli persatuan mempunyai kemahiran menganyam rotan, kami ingin mereka membuat anyaman daripada kertas pula kerana kraftangan berkenaan kini mendapat sambutan.

''Sebelum ini, kami terlibat dalam beberapa aktiviti menjual anyaman diperbuat daripada kertas dan ia telah mendapat sambutan yang sangat baik," ujarnya.

Katanya, antara kraftangan yang mendapat permintaan ialah bunga telur, bekas hantaran kahwin dan bekas telur.

Beliau memberitahu, persatuan itu juga memerlukan lebih RM40,000 untuk mengubah suai sebuah bilik bagi menjadikan ia sebagai bilik teknologi maklumat.

''Kami juga ingin mengajar orang cacat penglihatan di negeri ini menggunakan komputer dan Internet," katanya.

No comments:

Post a Comment