Impian kerajaan negeri untuk mempunyai hasil padi sendiri kian tercapai apabila Projek Rancangan Pengairan Jelapang yang diusahakan di Kampung Mak Jintan dekat sini tahun lalu mula membuahkan hasil.
Projek yang melibatkan tanah sawah seluas 735 hektar itu mula dituai 15 September lalu dengan anggaran perolehan empat tan per hektar untuk satu musim.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said berkata, projek tersebut yang melibatkan kos sebanyak RM46 juta termasuk kemudahan pengairan, infra dan pembaikan kawasan serta perataan tanah itu mula menunjukkan hasil walaupun diusahakan dalam masa tiga bulan.
Katanya, melalui projek berkenaan, kerajaan yakin dapat mencapai 55 peratus tahap sara diri negeri Terengganu.
"Apabila keseluruhan projek ini siap beroperasi sepenuhnya, kita yakin akan mencapai sasaran sara diri 100 peratus tanpa mengharapkan hasil padi dari negeri lain.
"Ini kerana, Projek Pengairan Jelapang ini berpotensi untuk tanaman padi dua kali setahun yang bakal meningkatkan ekonomi penduduk sekali gus negeri ini," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar selepas merasmikan Program Tuai Padi di Kampung Mak Jintan di sini semalam.
Projek Pengairan Jelapang itu mula diusahakan bertitik tolak daripada idea Menteri Besar Terengganu tahun lalu apabila ingin mengurangkan masalah kemiskinan rakyat di negeri itu dengan membuka kawasan penanaman padi baru di kawasan kampung.
Seramai 200 orang peserta daripada penduduk tempatan telah terlibat dalam program berkenaan di mana setiap peserta diberi 3.9 hektar tanah untuk diusahakan dengan tanaman padi.
Mengulas lanjut, Ahmad Said berkata, beliau berharap petani yang terlibat dengan projek itu akan berkerja keras bagi mendapatkan hasil yang lebih banyak tahun depan.
Ujarnya, pada tahun depan proses penanaman padi akan bermula pada bulan Mac.
"Kita yakin tahun depan anggaran hasil yang akan diperoleh ialah RM4,000 hingga RM9,000 per hektar untuk satu musim.
"Dengan jumlah tersebut, petani-petani di sini mampu memperoleh anggaran pendapatan RM3,600 sebulan untuk tanah seluas 3.9 hektar ini dan sekali gus mampu keluar dari kelompok kemiskinan," jelasnya.
No comments:
Post a Comment