Sunday, September 6, 2009

Tabung Haji sasar deposit 50 peratus umat Islam

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) mensasarkan 50 peratus umat Islam di negara ini menjadi pendeposit menjelang 2012, kata Pengerusinya Tan Sri Abi Musa Asa'ari Mohamed Nor.

Beliau berkata, Tabung Haji sedang melaksanakan pelbagai program bagi menggalakkan umat Islam menabung dalam institusi itu.

"Sehingga Julai tahun ini, jumlah pendeposit Tabung Haji hanya kira-kira 5.09 juta orang membabitkan tabungan RM21.87 bilion," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan kepada fakir miskin sempena Program Ihya Ramadan di sini, hari ini.
Abi Musa Asa'ari berkata, Tabung Haji memperuntukkan RM3.11 juta menerusi program ihya Ramadan untuk membantu fakir miskin sepanjang Ramadan ini dan persediaan menyambut Aidilfitri termasuk RM330,000 untuk Kelantan.

"Sumbangan ini adalah satu tanggungjawab sosial korporat Tabung Haji dalam usaha membantu golongan kurang berkemampuan.

"Ini juga bertepatan dengan falsafah Tabung Haji yang peka dan prihatin terhadap kesulitan yang dihadapi oleh masyarakat Islam," katanya.

No comments:

Post a Comment