Friday, September 4, 2009

UMT mahu buka stesen selidik kelah

Sumber: Berita Harian

KAKITANGAN UMT ketika di Pusat Santuari Kelah, di Tasik Kenyir. - Foto ihsan UMT

Seramai 10 warga kerja Institut Akuakultur Tropika (Akuatrop) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengadakan lawatan kerja sehari ke Pusat Santuari Kelah di Tasik Kenyir baru-baru ini, bagi melihat dengan lebih dekat kaedah pemeliharaan ikan kelah di habitat asal.

Lawatan itu yang diketuai Timbalan Dekan Fakulti Agroteknologi dan Sains Makanan UMT, Prof Madya Dr Aboi Munafi diadakan sebagai susulan daripada perbincangan antara UMT dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) mengenai kerjasama kedua-dua pihak untuk memajukan sektor penternakan kelah.

UMT melalui bahagian penyelidikannya, Akuatrop bercadang membuka sebuah stesen penyelidikan ikan kelah di Tasik Kenyir bagi memudahkan penyelidik menjalankan kajian mengenai pembiakan ikan kelah, iaitu spesies ikan yang terkenal dan sinonim dengan Tasik Kenyir dan Terengganu amnya.
"Dalam lawatan itu kita turut mengadakan perbincangan awal dengan warga Ketengah mengenai projek yang bakal dijalankan melalui jalinan kerjasama antara kedua belah pihak. Kita berhasrat membuka pusat penyelidikan khas untuk ikan kelah bagi mengkaji proses yang boleh menggalakkan pembiakan ikan berharga mahal ini," tambahnya.

Mengulas lanjut katanya, antara matlamat penubuhan stesen penyelidikan ikan kelah di Tasik Kenyir itu dijangka membolehkan pihaknya menggunakan kaedah pembiakan ikan dikenali sebagai pembenihan aruhan (buatan), iaitu dengan memberi suntikan hormon kepada ikan untuk memudahkan pembiakan.

"Kita tahu bahawa ikan kelah di Tasik Kenyir adalah spesies ikan yang dilindungi. Justeru, antara penyelidikan yang akan dijalankan kita akan lihat cara untuk menggalakkan pembiakan ikan ini kerana spesies ikan ini sama seperti ikan salmon yang membiak di kawasan hulu sungai.

"Disebabkan proses pembiakan sebegitu, ikan ini akan membiak dan banyak dalam tempoh tertentu. Jadi, penyelidikan yang dijalankan nanti akan membolehkan kita mengenal pasti kaedah khusus supaya proses pembiakannya nanti berterusan dan tidak hanya pada waktu-waktu tertentu," katanya.

No comments:

Post a Comment