Saturday, September 5, 2009

Warga Tok Adis gembira beraya di rumah baru

Setelah hampir dua tahun hanya mampu ‘bermimpi’ untuk menjalani ibadah puasa dan berhari raya dengan lebih selesa di rumah baru, akhirnya tahun ini, impian menjadi kenyataan apabila Kerajaan Negeri menyerahkan kunci rumah kepada penerima penempatan baru di Lot Perpindahan Tok Adis pada 5 Ogos lalu.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, majoriti daripada 96 buah keluarga yang layak menerima rumah itu sudah berpindah dan senyuman diukir di bibir masing-masing jelas menunjukkan perasaan gembira yang sukar digambarkan.

Penghuni, Zainon Mohd, 54, yang juga ibu tunggal mengakui, bulan puasa dan hari raya yang bakal disambut tidak lama lagi lebih bermakna kali ini kerana kehidupan dia dan keluarga jauh lebih selesa jika dibandingkan sebelum ini.

“Rumah lama saya begitu uzur dan hanya tunggu saat sahaja untuk roboh. Jika hujan dan angin sahaja, saya dan anak-anak begitu takut dan hidup kami selalunya tidak tenteram terutama apabila musim tengkujuh dan ombak besar.

“Jika dulu pada waktu berbuka puasa, kadangkala kami berbuka dalam ketakutan dan langsung tidak selesa, terutama pada musim hujan. Kadang kala kami berbuka dalam keadaan basah. Hanya Tuhan tahu perasaan kami sekeluarga ketika itu,” katanya.

Menurut Zainon, hari ini, dia dan keluarga sudah mampu menarik nafas lega dan kehidupan pada bulan puasa kali ini terlalu jauh berbeza dengan tahun sebelumnya.

“Rumah ini begitu selesa bagi kami dan alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya berbuka puasa dan berhari raya dalam keadaan selesa dan sempurna seperti insan lain,” katanya.

Sementara itu, Mohd Ali, 68, yang juga penghuni di sini turut melahirkan rasa syukur kerana setelah hampir berputus asa menanti, akhirnya hari ini, rumah yang ditunggu-tunggu sah menjadi miliknya.

“Saya sebenarnya langsung tidak terfikir akan tinggal di rumah yang cukup sempurna dan selesa seperti hari ini.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan nasib kami dan akhirnya, mimpi kami selama ini untuk berhari raya dengan selesa seperti keluarga yang lain menjadi kenyataan,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini, pada hari raya, jika ada tetamu berkunjung ke rumahnya, mereka terpaksa meletakkan kenderaan agak jauh kerana lokasi rumahnya jauh dari jalan raya selain jalannya sempit untuk laluan kenderaan.

“Tetapi hari raya kali ini, tetamu saya boleh meletakkan kenderaan mereka betul-betul di hadapan rumah dan keadaannya jauh lebih selesa,” katanya.

Bagaimanapun, kata Mohd, memandangkan dia dilahirkan dan dibesarkan dengan kehidupan suasana di laut, dia tetap rindukan bunyi ombak dan kedamaian pantai yang sudah sebati dalam hidupnya selama ini.

No comments:

Post a Comment