Seramai 50 peserta dari dalam dan luar negara akan menyertai Kejohanan 4X4 Starhill Challenge kali ke-6 yang dijadualkan berlangsung di laluan berbukit di Tasik Kenyir, Hulu Terengganu selama 3 hari mulai 20
November ini.
Setiausaha Kehormat Kejohanan Wan Abdul Rahim Wan Hassan berkata kejohanan anjuran Kelab 4X4 Gedut dengan kerjasama kerajaan negeri dan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) itu juga akan disertai peserta dari Jerman, Thailand dan Indonesia.
"Kejohanan ini menyediakan hadiah berupa wang tunai berjumlah RM20,000 yang akan diberikan kepada peserta yang berjaya mengikut peringkat pertandingan," katanya.
Menurutnya lokasi Pengkalan Gawi dipilih oleh penganjur kerana ia mempunyai keadaan berbukit yang sesuai untuk pertandingan 4X4 dan ini merupakan kali kedua kojohanan itu diadakan kawasan tersebut.
Beliau berkata demikian kepada media selepas acara melepaskan 20 peserta yang menyertai Kejohanan Extreme 4X4 Daerah Besut bagi merebut Piala Dato Seri Idris Jusoh di Dataran Restoren dan Rehat Seberang Jerteh di sini hari ini.
Wan Abdul Rahim berkata dalam kejohanan Extreme 4X4 yang diadakan hari ini, kesemua peserta akan ke lokasi pertandingan di Lata Tembakah melalui laluan Padang Tapong sejauh 20 kilometer.
Menurutnya semua peserta akan berkhemah di Lata Tembakah selama 3 hari 2 malam di samping melakukan aktiviti kemasyarakatan dengan penduduk tempatan.
Majlis pelepasan disempurnakan oleh Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Datuk Seri Idris Jusoh yang merupakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Sementara itu Idris dalam ucapannya sebelum itu menyeru golongan muda supaya menyertai akiviti lasak 4X4 kerana ia mampu membina keyakinan diri, semangat kental dan jiwa kreatif dalam diri mereka.
Beliau berkata golongan muda perlu menimba seberapa banyak pengalaman melalui penyertaan dalam aktiviti-ativiti yang mampu mencabar minda, kekuatan dan daya kreatif mereka.
No comments:
Post a Comment