Friday, October 2, 2009

Apa silap Bazar Warisan?

Sumber: Sinar Harian

Bazar Warisan boleh diibaratkan seperti ‘hidup segan mati tak mahu’ berikutan keadaannya yang sunyi dan dikatakan kurang dikunjungi pengunjung luar walaupun kos pembinaan menelan belanja kira-kira RM17 juta.

Masalah itu sudah lama berlarutan sejak pembukaan bazar berkenaan pada awal 2008 namun suasananya amat berbeza di Pasar Besar Kedai Payang yang sentiasa riuh dan menerima kunjungan orang ramai walaupun Bazar Warisan terletak berhadapan dengan pasar terbabit.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Daerah Kuala Terengganu, Tengku Jalal Tengku Nara berkata, pihak persatuan meminta peniaga yang menyewa di bazar berkenaan membuka premis mereka.

“Kebanyakan premis sudah disewa tetapi peniaga tidak membukanya kerana tidak mahu menanggung kerugian walaupun mendapat lesen dengan alasan tidak ramai pengunjung berbanding di Pasar Besar Kedai Payang.

“Setakat ini premis yang dibuka hanya 30 buah sahaja daripada 65 premis disediakan di situ,” katanya.

Menurutnya, ramai peniaga takut membuka perniagaan disebabkan sewa bulanan agak mahal antara RM600 hingga RM1,800 sebulan mengikut keluasan kedai dan menganggap mereka tidak mampu menampung sewa bulanan jika tiada sambutan orang ramai.

“Sekiranya tiada tindakan diambil, pihak berkuasa tempatan (PBT) yakin Bazar Warisan yang menjadi salah satu mercu tanda negeri ini akan berkubur begitu sahaja,” katanya.

Sementara itu, peniaga kedai kraf tangan, Fatimah Hamila Abdul Salam, 24, berkata, sambutan pengunjung kurang memberangsangkan kecuali pada hari cuti sahaja

“Kadang-kadang saya risau sekiranya promosi untuk memperkenalkan Bazar Warisan tidak dilakukan dengan giat, saya takut ramai peniaga Melayu di sini akan ‘gulung tikar’ kerana kebanyakan mereka bergantung kepada hasil jualan barangan,” katanya.

Bagi peniaga kain batik dan sutera, Nurul Syahida, 25, berkata kebanyakan pengunjung menganggap barang yang dijual di bazar mahal berbanding di Pasar Besar Kedai Payang walhal harganya sama sahaja.

“Tiada perbezaan harga walaupun dekorasi dalam kedai nampak eksklusif dan saya melihat di bazar ini lebih selesa kerana keadaan kedai tersusun, selain pelbagai kemudahan disediakan kepada pengunjung.

“Saya berharap akan ada tindakan selanjutnya dari pihak MBKT untuk mempromosikan Bazar Warisan supaya menjadi salah satu destinasi pelancongan yang baru kepada pelancong,” katanya.

No comments:

Post a Comment