Saturday, October 10, 2009

Banjir - JKM Terengganu Sedia RM500,000

Jabatan Kebajikan Masyarakat memperuntukkan kira-kira RM500,000 sebagai persiapan menghadapi ancaman banjir di negeri itu tahun ini.

Pengarah JKM negeri Zulhami Omar berkata peruntukan itu bertujuan untuk membeli barang keperluan untuk mangsa-mangsa banjir nanti.

"Bagaimanapun peruntukan itu akan ditambah jika keadaan memerlukan," katanya semalam.
Beliau berkata JKM menyediakan keperluan asas, antaranya, beras (2,050 kampit), ikan sardin (4,968 tin), gula (2,668 kampit), selain menyediakan selimut, tikar dan tuala.

Barang-barang tersebut akan dihantar ke 118 pusat pangkalan hadapan di seluruh negeri Terengganu, terutamanya kawasan-kawasan yang sukar sampai dalam masa terdekat ini.

"Kita dahulukan penghantaran ke pulau-pulau seperti Pulau Redang, Pulau Perhentian dan juga kawasan-kawasan hulu yang sukar sampai semasa banjir," katanya.

Beliau berkata tahun ini 324 buah pusat pemindahan terdiri daripada sekolah, balai raya, masjid dan surau yang dapat menampung hampir 50,000 mangsa banjir disediakan di seluruh negeri ini.

Zulhami berkata di Terengganu musim tengkujuh yang biasanya membawa ancaman banjir berlaku mulai November hingga Mac setiap tahun.

JKM negeri juga akan membekukan cuti pegawai-pegawainya apabila berlaku banjir, katanya.

No comments:

Post a Comment