Saturday, October 10, 2009

JAKIM Rancang Cawangan ILIM Wilayah Timur Di Besut

Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) akan membangunkan sebuah cawangan Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Wilayah Timur di Kampung Bukit Kluang, Besut, Terengganu, yang akan mulai beroperasi tahun depan.

Pengarah ILIM, Paimuzi Yahya berkata pusat latihan agama yang memberi tumpuan kepada bidang ilmu falak bernilai RM26 juta itu merupakan cawangan kepada ILIM di Bandar Baru Bangi.

"Ia akan menjadi sebuah pusat latihan yang menyediakan tenaga mahir dalam bidang ilmu falak dan berkaitan dengan amalam ibadah dalam menentukan arah kiblat solat, tanah perkuburan Islam, masjid dan hotel," katanya kepada Bernama selepas merasmikan majlis penutup Kursus Falak (Qiblat) anjuran Jakim di Kota Bharu, kelmarin.

Hadir sama ialah Ketua Penolong Pengarah ILIM, Dr Abdul Ghafar Surip dan Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras (PAQIT), Zamihan Mat Zin.

Paimuzi berkata pusat di kawasan seluas 60 ekar di Besut yang dijangka mulai beroperasi awal tahun itu kini sudah siap 92 peratus pembinaannya.

Beliau berkata apabila siap pusat itu nanti, ia mampu menampung 100 peserta pada suatu masa dengan menyediakan pelbagai kemudahan, termasuk asrama, bilik kuliah, dewan seminar, kantin dan sebagainya.

"Pusat ini berperanan memberi latihan kepada kakitangan dan pegawai agama, termasuk guru Kelas Fardu Ain (Kafa), Takmir dan kakitangan agensi agama yang lain untuk diberi latihan dalam bidang berkaitan," katanya.

Paimuzi berkata Jakim juga bercadang menubuhkan pusat seumpama itu di Kuala Kangsar, Perak di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK-10) untuk Wilayah Utara.

Katanya, pihak Jakim akan mendapatkan kerjasama dengan pihak berkuasa agama seperti Jabatan Hal Ehwal Agama dan Majlis Agama Islam dalam mengendalikan pusat itu di negeri masing-masing.

No comments:

Post a Comment