Sumber: Utusan Online
Sebahagian graduan wanita Diploma Pembantu Perubatan di Majlis Konvokesyen KIST Ke-2 di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu.
Walaupun pekerjaan sebagai pembantu perubatan lebih didominasi golongan lelaki, graduan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), Roshita Remli, 21, bertekad untuk menceburi kerjaya tersebut.
Roshita adalah kumpulan graduan pertama KIST yang terdiri 33 wanita dan 33 lelaki menerima Diploma Pembantu Perubatan di majlis konvokesyen kolej tersebut di Taman Tamadun Islam, di sini hari ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussein menyampaikan sijil kepada graduan.
Mengulas lanjut, Roshita berkata, minat dan dorongan ibu bapa menyebabkannya memilih untuk menceburi bidang tersebut.
‘‘Sebelum ini, saya menerima tawaran untuk belajar kursus lain dari maktab perguruan tetapi saya tolak kerana lebih meminati jurusan ini.
‘‘Saya bersyukur dan gembira kerana berjaya mencapai kejayaan ini,’’ katanya yang juga anak ketiga daripada empat beradik yang berasal dari Felda Raja Alias, Negeri Sembilan.
Roshita menambah, sejak 15 Ogos lalu, dia bekerja sebagai pembantu perubatan di wad kecemasan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) di Cheras, Selangor.
‘‘Bekerja sebagai pembantu perubatan memang ada cabarannya tetapi ia tidak sukar untuk dilakukan jika kita berminat dan cekal menghadapinya,’’ ujarnya.
Roshita yang bercita-cita menjadi seorang doktor berkata, dia merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang sains perubatan di UKM pada masa depan.
Seramai 568 graduan KIST dalam jurusan Diploma Kejururawatan, Diploma Pembantu Perubatan, Diploma Diagnostik Radiografi, Diploma Psikologi dan Diploma Syariah menerima sijil masing-masing di majlis tersebut.
No comments:
Post a Comment