Tuesday, October 13, 2009

Kubu Pahlawan Mat Kilau terbiar…

Terima kasih Rosli Abdul Jalil dan Berita Harian kerana mendedahkan bagaimana Kubu Mat Kilau terbiar hingga diseliputi semak samun.


Pendedahan ini akan membuka mata banyak pihak. Kubu pahlawan tersohor yang dibina di Pasir Raja, Jerangau, Dungun bagi mengingati perjuangan pahlawan lagenda Melayu, yang menentang penjajahan Inggeris sekitar tahun 1890-an yang terbiar seolah-olah tiada penghargaan untuk beliau.

Sedangkan Mat Kilau bukan saja berjuang di Pahang, malah namanya tersohor di Terengganu serta Kelantan, dan sejarah mencatatkan pejuang itu pernah ke Perak menggunakan laluan menghubungkan Lata Lembik di Raub dan Hulu Slim, Slim River, Perak.

Kita ucapkan syabas kepada Kelab Kembara Chukai kerana mendedahkan keadaan kubu yang terbiar.

Baca laporan Berita Harian 12 Oktober 2009 untuk lebih lanjut:

Kubu Timur: Kubu Mat Kilau tak 'berkilau'

Oleh Rosli Abdul Jalil
bhk@bharian.com.my

CHUKAI: Semak dan terbiar. Inilah nasib Kubu Mat Kilau yang dibina di Pasir Raja, Jerangau, Dungun bagi mengingati perjuangan pahlawan lagenda Melayu, yang menentang penjajahan Inggeris sekitar tahun 1890-an.

Mat Kilau bukan saja berjuang di Pahang, malah namanya tersohor di Terengganu serta Kelantan, dan sejarah mencatatkan pejuang itu pernah ke Perak menggunakan laluan menghubungkan Lata Lembik di Raub dan Hulu Slim, Slim River, Perak.
Presiden Kelab Kembara Chukai (CAT), Zahurin Abd Wahab, berkata 17 ahlinya yang mengadakan ekspedisi sehari untuk melihat Kubu Mat Kilau, baru-baru ini terkejut apabila melihat keadaan kawasan kubu yang terbiar dan terabai.

"Kawasan berkenaan bukan saja semak tetapi dipenuhi dengan pokok besar seolah-olah sudah lama tidak dipedulikan. Malah, di pertengahan jalan, kami terpaksa membina jambatan balak kerana jambatan lama yang ada sudah terlalu uzur dan berbahaya untuk dilalui.

"Bagaimana jika pencinta sejarah dan pelancong mahu melihat tinggalan sejarah berkenaan mahu jika laluan masuk pun tidak diuruskan dengan baik," katanya ketika kepada Berita Harian.
AHLI Kelab Kembara Chukai bergambar di hadapan pintu masuk ke kubu itu.

Mengikut sejarah, perjuangan Mat Kilau mendapat sokongan padu daripada dua tokoh ternama Terengganu iaitu Tok Ku Paloh dan Abdul Rahman Limbong serta Tok Janggut di Kelantan.

Malangnya, hari ini tidak ramai generasi muda mengenali siapa Mat Kilau, Tok Gajah atau Tok Bahaman yang sama-sama berjuang menebus maruah bangsa Melayu daripada Inggeris.

Zahurin berkata, Kubu Mat Kilau yang pernah digunakan oleh pejuang Melayu mengatur strategi menentang Inggeris perlu dibersihkan bagi memudahkan orang ramai, khususnya generasi muda mengunjunginya.

“Bagaimana kita untuk menggalakkan generasi muda melawat tapak bersejarah ini kalau dibina tempat pertemuan pejuang seperti Tok Janggut, Tok Gajah dan Toh Bahaman ini dipenuhi belukar.
“Kita sangat berharap pihak berkuasa dapat membersihkan kawasan ini dan membina jambatan serta memasukkan Kubu Mat Kilau antara destinasi bersejarah yang dilawati di Hulu Dungun,” katanya.

Zahurin berkata, pada zaman dulu, kawasan Kubu Mat Kilau hanya boleh dihubungi melalui jalan sungai dari Kampung Pasir Raja.

"Laluan menyusuri Sungai Dungun dari Kampung Pasir Raja menghubungkannya dengan Kampung Bantal di Hulu Tembeling, Jerantut," katanya.

Beliau berkata, usaha membina bersihkan laluan itu bukan saja memudahkan orang ramai melawat kubu berkenaan, malah dapat menggalakkan sektor pelancongan, khususnya peminat kembara pacuan empat roda menikmati keindahan semula jadi di Hulu Dungun.

No comments:

Post a Comment