Tuesday, October 6, 2009

Mohd Ayub pulang hari ini

Mohd Ayub Mansor – pelajar tahun satu yang menjalani pembedahan di Kuala Lumpur dijangka pulang ke Kuala Terengganu hari ini.

Beliau yang beransur pulih menjalani pembedahan jantung ditanggung kosnya oleh kerajaan negeri.

Pagi Sabtu lalu, Menteri Besar dan isteri melawat Mohd Ayub di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Menteri Besar dan isteri melihat keadaan adik Mohd Ayub Mansor yang selamat menjalani pembedahan jantung di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur.

Beliau yang diiring isteri, To’ Puan Norliza Mahmud dan Setiausaha Sulit Kanan, Wan Ahamad Wan Muda, meluangkan masa hampir sejam untuk bertanyakan khabar pesakit dan keluarganya.

Menurut laporan TeganuKita, pakar perubatan hospital itu, Dr David Khoo Sin Keat, turut berada di hospital dan memberi penerangan mengenai keadaan kesihatan Mohd Ayub.

Berdasarkan keadaan semasa, Dr Dr David menjangkakan pesakit berkenaan dijangka keluar dari hospital berkenaan hari ini.

Menteri Besar berkata, kerajaan negeri akan terus memberi bantuan kepada pesakit kronik yang menghadapi masalah kewangan untuk mendapatkan rawatan bagi menyembuhkan penyakit mereka.

“Kita akan tengok kes-kes yang boleh dibantu dan pesakit akan diberi bantuan perubatan mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri,” katanya selepas melawat pesakit berkenaan.

Dr David menerangkan perkembangan adik Mohd Ayub kepada Ahmad Said.

Beliau berharap Mohd Ayub akan dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain selepas ini dan kerajaan sedia memberi bantuan lain seperti ubat-ubatan tambahan kepada kanak-kanak tersebut selepas rawatan itu.

Ahmad Said memastikan tahap kesihatan adik Mohd Ayub stabil sepanjang berada di wad Pusat Perubatan Prince Court Kuala Lumpur sambil dibantu Dr David.

Ahmad Said turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan hospital berkenaan, khususnya Dr David yang terbabit secara langsung dalam menjayakan pembedahan berkenaan.

No comments:

Post a Comment