Thursday, October 15, 2009

Terengganu siap sedia hadapi banjir

Semua agensi keselamatan di negeri ini kini bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam terutama banjir.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mokhtar Nong berkata, semua jabatan dan agensi yang terlibat telah bersedia dengan segala keperluan meliputi kelengkapan logistik, kenderaan dan anggota.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Negeri berkata, kerajaan negeri juga telah menyediakan peruntukan tahunan iaitu sebanyak RM1 juta.

‘‘Peruntukan ini diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pengurusan bencana alam yang meliputi keperluan makanan, barangan keperluan dan kit bencana,’’ katanya.

Mokhtar berkata demikian selepas pelancaran Kempen Kesedaran Awam Mengenai Bencana Cuaca Ekstrem, Gempa Bumi dan Tsunami 2009 Peringkat Terengganu di Wisma Darul Iman kelmarin.

Beliau memberitahu, JKM telah mengeluarkan tender untuk penyediaan makanan bagi menghadapi banjir.

‘‘Dalam pada itu, barangan makanan yang dibeli sebelum ini dan telah tamat tarikh luput telah pun dilupuskan mengikut proses-proses yang ditetapkan,” jelasnya.

Beliau menambah, sebanyak 327 pusat pemindahan di seluruh negeri ini telah disediakan bagi menyediakan tempat tinggal sementara untuk mangsa-mangsa banjir.

No comments:

Post a Comment