Kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera sebanyak RM6 juta untuk membina parit bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda beberapa kawasan penempatan rendah setiap kali musim tengkujuh.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata pembinaan parit berkenaan bertujuan memastikan aliran air ke sungai berhampiran tidak tersekat sekali gus membantu mengelakkan lebih 500 kediaman penduduk di Tepoh terutama di Taman Pusu Tiga yang sebelum ini teruk dilanda banjir.
Beliau berkata, kerajaan negeri sudah mengeluarkan arahan kepada kontraktor yang akan memulakan kerja pembinaan parit itu dalam tempoh terdekat sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan.
"Kita sedar beberapa penempatan di sini dibina di kawasan rendah dan berada di bawah paras laut menyebabkan kawasan ini mudah menakung air.
"Jadi, kita berusaha mencari alternatif segera supaya masalah ini dapat diatasi dan air dapat dialirkan dengan baik ke Sungai Nerus terutama sepanjang musim tengkujuh nanti.
"Kita sudah arahkan kontraktor untuk bina sistem perparitan dan sebahagian akan mula dibina dalam tempoh terdekat, manakala sebahagian lagi memerlukan sedikit masa," katanya selepas majlis sambutan Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, kelmarin.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhammad Ramli Nuh; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Za'abar Mohd Adib dan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Razif Abdul Rahman.
Sementara itu, Ahmad berkata, rakyat tidak sewajarnya menuding jari kepada wakil rakyat sekiranya berlaku bencana alam yang diluar kawalan manusia, sebaliknya perlu berterima kasih kerana kerajaan negeri sentiasa berusaha memastikan setiap keperluan penduduk dipenuhi.
"Satu yang saya minta, jika berlaku bencana alam seperti banjir ini, janganlah kita salahkan wakil rakyat pula. Kita tak boleh nak buat apa-apa, tetapi sentiasa berusaha supaya setiap masalah dapat diselesaikan demi kepentingan penduduk setempat.
"Jika kerajaan sanggup lakukan apa saja yang terbaik untuk rakyat, sanggup beri macam-macam untuk kemudahan rakyat, kita harap setiap lima tahun sekali rakyat balas jasa baik kita. Tak susah..cuma undi Barisan Nasional (BN) saja," katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin.
No comments:
Post a Comment