Sunday, October 18, 2009

Terengganu antara catat peningkatan kes denggi.

Jumlah kes demam denggi bagi tempoh 4 hingga 10 Oktober menurun kepada 552 kes berbanding 585 kes pada minggu sebelumnya, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Bagaimanapun, Terengganu antara tujuh negeri yang mencatatkan peningkatan.
Tujuh negeri mencatatkan peningkatan kes iaitu Kelantan dengan 22 peratus, Kedah (20 peratus), Johor (18 peratus), Sabah (14 peratus), Melaka (10 peratus), Terengganu (7 peratus) dan Perak 6 peratus.

Dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur kelmarin, beliau berkata satu kematian akibat demam denggi dilaporkan pada 19 Sept lepas, menjadikan jumlah kematian akibat penyakit itu setakat ini sebanyak 72 kes.

Katanya wanita berusia 52 tahun berasal dari Kuala Kangsar, Perak meninggal dunia akibat komplikasi 'Dengue Shock Syndrome' setelah tiga hari dirujuk ke sebuah hospital swasta di Ipoh.

Dr Mohd Ismail berkata jumlah terkumpul kes denggi setakat ini ialah 32,560 kes berbanding 35,227 bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Mengenai kawasan panas, beliau berkata melalui pemantauan terhadap 26 lokaliti, 15 daripadanya didapati masih mempunyai kadar pembiakan nyamuk aedes yang tinggi.

Kawasan panas itu ialah 12 di Selangor, dan masing-masing satu di Kuala Lumpur, Johor dan Terengganu.

Mengenai Chikungunya, beliau berkata sebanyak 231 kes dilapor minggu lepas, meningkat 73 kes berbanding 158 pada minggu sebelumnya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment