Sunday, October 18, 2009

Terengganu mendahului perkenal I-Iqraq

Terengganu sekali lagi mendahului dalam bidang pendidikan apabila memperkenalkan kaedah pembelajaran al-Quran secara elektronik dengan menggunakan I-Iqraq untuk pelajar negeri itu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata alat elektronik yang menyamai komputer riba itu mengandungi 30 juzuk Al-Quran di samping surah lazim untuk memudahkan kanak-kanak mahupun orang dewasa mempelajari tajwid dan hukum secara tepat.

Seramai 4,622 kanak-kanak Tadika berusia lima dan enam tahun yang berjaya khatam Al-Quran tahun ini diraikan pada majlis itu.


Ini adalah tahun keempat YIT menganjurkan majlis sedemikian dan jumlah kanak-kanak yang berjaya menghabiskan bacaan 30 juzuk al-Quran pada tahun ini meningkat sekali ganda berbanding 2,066 pada tahun lalu.


"Sebagai permulaan, Yayasan Islam Terengganu (YIT) telah memperkenalkan I-Iqraq ini kepada murid-murid kelas bimbingan, kanak-kanak (Tadika) YIT di negeri itu sejak tiga bulan lalu.


"Setiap kelas dibekalkan dengan seunit alat ini dan melalui kaedah itu pembelajaran al-Quran akan lebih mudah untuk dipelajari kerana ia turut dilengkapi suara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Khatam Program Pintar Al-Quran kanak-kanak Tadika peringkat negeri Terengganu 2009, di Stadium Tertutup Gong Badak semalam.

Ahmad berkata, I-Iqraq akan dijual kepada orang ramai tidak lama lagi menerusi syarikat yang dilantik kerajaan negeri dengan harga RM1,988 seunit dan akan diperluaskan ke seluruh negara pada masa akan datang. - Bernama

No comments:

Post a Comment