Saturday, October 31, 2009

Terengganu tidak gusar angka 1

Terengganu yakin dapat menundukkan Negeri Sembilan dalam pusingan kedua separuh akhir Piala Malaysia di Kuala Terengganu malam ini, dan sekaligus layak ke pertandingan akhir piala berprestij itu.


Penolong jurulatih Terengganu Mohd Nik berkata sungguhpun kedudukan di pusingan pertama Terengganu ketinggalan 0-1 kepada pasukan lawan itu, namun itu tidak mematahkan semangat Terengganu.

Dalam perlawanan malam Selasa lalu, skuad Negeri Sembilan berjaya menjinakkan Terengganu melalui jaringan tunggal Mohd. Aidil Zafuan Radzak pada minit ke-50 yang berjaya menanduk kemas hantaran sepakan sudut S. Kunalan.

"Semangat pemain Terengganu sekarang begitu tinggi untuk menundukkan Negeri Sembilan," katanya semalam.

Sambil menyifatkan pertemuan itu sebagai penentuan "hidup mati" Terengganu dalam kejohanan itu musim ini, beliau berkata pemain Terengganu mempunyai semangat juang yang tinggi untuk sampai ke tahap ini.

Mohd Nik berkata sebagai contoh, Terengganu dapat menundukkan pasukan disegani seperti Selangor dalam pertandingan suku akhir Piala Malaysia musim ini.

Beliau berkata pemain Terengganu telah diarahkan supaya memberikan fokus sepenuhnya terhadap perlawanan itu dan mengelakkan daripada membuat kesilapan yang boleh membawa padah kepada pasukan.

".. kerana inilah langkah penentu kita dalam pertandingan Piala Malaysia musim ini," katanya.

Mohd berkata Terengganu mempunyai masa dua hari (hari ini dan esok) untuk membuat latihan dan persiapan terakhir sebelum turun menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Sabtu ini.

Beliau berkata pemain cilik Ismail Faruqi yang baru sembuh dari kecederaan mungkin diturunkan sepenuhnya untuk berganding dengan Tengku Hazman Raja Hassan dan Zairo Anuar Zailani di bahagian tengah.

"Sejarah 2001 iaitu Terengganu menjadi juara Piala Malaysia akan berulang kembali dan pemain-pemain pasti tidak akan melepaskan peluang ini," katanya.Jika berbekalkan kemenangan 1-0 ke atas Terengganu untuk mendabik dada pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia di Kuala Terengganu kelak, skuad Negeri Sembilan nampaknya parah.

Apa tidaknya, belum tentu angka 1 itu boleh menjamin tempat mereka ke babak akhir Piala Malaysia, jika percaturan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu Sabtu ini tidak disusun rapi oleh jurulatih Wan Jamak Wan Hasan.

Jurulatih Terengganu, Ken Worden berkata, perlu ada kekemasan yang lebih baik di kalangan pemain, jika mahu mencipta kemenangan pada separuh akhir kedua di Kuala Terengganu, Sabtu ini.

''Sudah tentu kita masih mempunyai peluang untuk melangkah ke akhir dan saya akan mengatur strategi agar pemain-pemain mendapat keserasian untuk bermain dengan lebih baik pada saingan kedua separuh akhir nanti," katanya.

''Saya lihat gol yang dihasilkan oleh Negeri Sembilan itu disebabkan kesilapan pemain pertahanan. Ini yang saya bimbang, jika perkara itu berlaku Sabtu ini," katanya.

Ken Worden berkata, dia terkilan dengan cara pasukannya kalah di tangan Negeri Sembilan kerana kelihatan pemain seperti tiada persefahaman.

Wan Jamak pula berpendapat, jika anak buahnya itu bermain dengan menggunakan akal fikiran, sudah tentulah lebih banyak gol dapat dihasilkan dalam aksi separuh akhir pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

''Banyak peluang telah dilepaskan begitu sahaja oleh pemain, lebih-lebih lagi pada aksi kedua permainan.
Mungkin satu gol itu dianggap kelebihan apabila beraksi di Kuala Terengganu, tetapi ia bukan angka selesa untuk berhadapan pasukan tuan rumah, Terengganu kelak," katanya.

Bagaimanapun katanya, dia akan mengatur strategi permainan yang lebih baik untuk memastikan skuad Negeri Sembilan mampu memberikan saingan terbaik pada babak separuh akhir kedua nanti.

''Buat masa ini, saya bangga dengan prestasi pemain, lebih-lebih lagi mencipta kemenangan di gelanggang sendiri dan barisan pertahanan yang cukup baik," katanya.

No comments:

Post a Comment