Seramai 115 remaja kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih yang mengikuti kursus Dana Bakti Remaja Peringkat Daerah Besut di Kompleks Belia dan Sukan, baru-baru ini, menerima RM500 seorang.
Pengerusi Program Dana Bakti Remaja Terengganu UMNO Bahagian Besut, Ahmad Baihaki Mohamad Zain berkata, remaja terbabit adalah yang layak menerima dana tersebut daripada Kerajaan Negeri.
Menurutnya, semua peserta perlu mengikuti kursus berkenaan selama tiga hari dua malam yang dikendalikan fasilitator, terdiri daripada 13 anggota Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Besut, dibantu kakitangan Biro Tatanegara (BTN) sebagai penggerak.
“Tujuan kursus ini adalah untuk memperkasakan ketuanan Melayu sebagai langkah menyedarkan golongan remaja agar lebih bersemangat dalam cintakan bangsa dan negara, selain memiliki jati diri yang tinggi,” katanya.
Ahmad Baihaki berkata, kursus tersebut yang kesembilan daripada 16 program diadakan di daerah ini dan selepas ini akan diikuti remaja dari DUN Kuala Besut, Hulu Besut dan Kota Putera pula.
Menurutnya, program membuktikan Kerajaan Negeri sentiasa peka terhadap remaja melalui pelbagai program pembangunan rohani dan fizikal.
“Selain itu, kita turut menerapkan slogan Besut sebagai Bumi Ulul Albab dengan cogan kata 'Masyarakat Terbilang' seperti yang digagaskan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh,” katanya.
Beliau berkata, sepanjang program, pelbagai aktiviti perlu dilakukan peserta seperti gerak kerja dalam kumpulan, persembahan dan motivasi agar matlamat program tercapai.
Sehubungan itu, Ahmad Baihaki mengajak golongan remaja untu menghadiri program seumpama itu kerana dapat memberi kesedaran mengenai nasib bangsa Melayu yang terletak di bahu mereka.
No comments:
Post a Comment