Friday, November 13, 2009

65.9 Peratus Projek ECER Telah Dimulakan


Sebanyak 65.9 peratus atau 54 projek dan program di bawah pelan Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECER) telah dimulakan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk S.K Devamany berkata daripada sejumlah RM1.5 bilion yang dicadang diperuntukkan kepada Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) untuk melaksanakan 82 projek, sebanyak RM480 juta peruntukan pembangunan telah disalurkan setakat 1 Okt lepas.

Beliau berkata antara projek berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di kawasan ECER ialah projek pelebaran jalan Persekutuan dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang.

Selain itu, Devamany berkata projek lain termasuk projek Kelompok Industri Polimer di Kertih, Terengganu; program pembasmian kemiskinan di kalangan nelayan serta projek Agropolitan di Pekan, Pahang dan Gua Musang, Kelantan.

"Projek Kelompok Industri Polimer Kertih akan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2020 dan merupakan 'Taman Plastik' bersepadu pertama Malaysia yang mampu menarik pelaburan melebihi RM2 bilion dan mewujudkan 8,000 peluang pekerjaan.

"Projek Agropolitan pula mensasarkan kepada usaha pembasmian miskin tegar sifar menjelang 2020 telah dimulakan di Pekan (Pahang) dan melibatkan 1,450 peserta, manakala di Gua Musang melibatkan 3,000 peserta," katanya menjawab soalan Amran Ab Ghani (PKR-Tanah Merah) yang ingin tahu perkembangan ECER di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata program pembasmian kemiskinan di kalangan nelayan pula melibatkan aktiviti tambah nilai dalam industri perikanan.

"Pada peringkat awal, seramai 1,000 nelayan dari 100 kampung di sepanjang pantai Tumpat, Kelantan hingga ke Mersing, Johor akan terlibat.

"Mereka dijangka meraih pendapatan isi rumah melebihi RM1,500 sebulan menerusi aktiviti yang dirancang," katanya.

No comments:

Post a Comment