Wednesday, November 25, 2009

9,000 nelayan diminta patuhi arahan

Kira-kira 9, 000 nelayan di negeri ini diminta sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa sebelum keluar menangkap ikan ke laut bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini terutama pada musim tengkujuh ketika ini.

Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Jelani Hashim berkata, arahan itu perlu dipatuhi setiap masa bagi memastikan keselamatan serta peralatan tangkapan ikan lebih terjamin.

Beliau berkata, ini kerana, buat masa ini, keadaan cuaca tidak mengizinkan selain ombak besar yang dikhuatiri mengancam keselamatan golongan nelayan.

Menurutnya, golongan nelayan perlu mematuhi arahan tersebut sehingga keadaan cuaca kembali pulih seperti sedia kala yang membolehkan mereka melakukan pelbagai aktiviti tangkapan ikan di laut seperti biasa.
Jelani seterusnya menasihati golongan itu supaya memastikan cuaca dalam keadaan baik terlebih dahulu sebagai langkah berjaga-jaga menghadapi sebarang kemungkinan.

''Biasanya musim tengkujuh yang melanda di Pantai Timur berlaku dalam masa dua atau tiga bulan dan dalam tempoh itu, biasanya keadaan cuaca tidak menentu dan berbahaya.

''Jadi, saya minta para nelayan agar sentiasa berhati-hati terutama semasa mereka keluar ke laut agar bot mereka tidak tersangkut di muara yang mengakibatkan mereka mengalami kerugian," katanya di Kuala Terengganu.

Jelani berkata, sejak awal tahun ini sehingga Oktober lalu, pihaknya mengeluarkan bantuan bencana alam seperti kerosakan bot dan perkakas tangkapan ikan berjumlah RM182,600 kepada 56 orang nelayan di seluruh negeri ini.

Daripada jumlah itu, katanya, ia melibatkan dua orang nelayan di Besut membabitkan bantuan RM3,500 diikuti 20 nelayan di Setiu (RM80,000), 15 nelayan Kuala Terengganu Utara (RM47,800), enam nelayan di Marang (RM5,700) dan lima orang di Dungun (RM11,000).

Turut mendapat manfaat daripada bantuan bencana alam itu ialah seorang nelayan di Paka (RM2,000) serta tujuh nelayan di Kemaman dengan jumlah bantuan RM32,500.

No comments:

Post a Comment