Jabatan Pertanian Terengganu menganggarkan seluas 1,439 hektar kawasan pertanian di negeri itu telah musnah dalam banjir baru-baru ini.
Pengarahnya Md Yusoff Maidin berkata ia melibatkan semua jenis tanaman seperti sayur-sayuran dan padi dengan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM5 juta.
"Jumlah ini adalah anggaran kasar, nanti kita akan perhalusi lagi untuk memastikan jumlah sebenar kerugian yang dialami yang dijangka lebih banyak," katanya semalam.
Md Yusoff berkata kira-kira 1,927 petani terjejas dalam bencana alam itu dan pihaknya telah mengedar borang-borang untuk mendapat maklumat lengkap mengenai kemusnahan tanaman yang dialami kepada petani-petani untuk diisi.
Beliau berkata petani-petani berkenaan akan dibantu apa yang perlu bagi membolehkan mereka mengusahakan tanaman masing-masing.
Sementara itu, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu pula melaporkan kira-kira 1,883 ekor lembu dan ayam telah musnah dalam kejadian banjir kali ini, dengan anggaran kerugian mencecah RM 113,000.
Pengarah JPV negeri Dr Azizol Mohd Sharum berkata ternakan berkenaan adalah milik 32 penternak dari seluruh negeri.
Dr Azizol berkata laporan telah disediakan dan akan dihantar kepada Ibu Pejabat Veterinar di Putrajaya untuk tindakan selanjutnya.
Sumber : Bernama
No comments:
Post a Comment