Friday, December 4, 2009

Ainslie Tempah Tiket Awal Ke Suku Akhir

Pelayar Britain Ben Ainslie berjaya menempah tiket awal ke suku akhir apabila mendahului saingan dari 11 pasukan lain pada hari kedua Kejohanan Kapal Layar Piala Monsun di Pulau Duyong semalam.


Pelayar berusia 32 tahun, yang mengetuai pasukan Origin itu, beraksi cemerlang apabila mengutip tujuh mata dari sembilan pusingan 'round robin' sejak semalam walaupun dalam keadaan cuaca tidak menentu dengan kelajuan tiupan angin antara 12 hingga 15 knot.

Pasukan tersebut, yang menduduki ranking ke-19 dalam senarai Persekutuan Pelayaran Antarabangsa (ISAF), turut dianggotai oleh Iain Percy, Matthew Cornwell, Christian Camp dan Mike Mottl.

Mengekori rapat pasukan Origin ialah pelayar Mathieu Richard dari Frecnh Match Racing Team dan pelayar Phil Robertson dari Waka Racing yang masing-masing memperoleh enam mata.

Bagaimanapun, agak mengejutkan apabila juara bertahan World Match Racing Tour (WMRT), Ian Williams dari pasukan Pindar, yang juga pesaing rapat kepada penyandang juara Datuk Peter Gilmour, hanya memperoleh tiga mata apabila tewas enam daripada sembilan pusingan itu.

William terpaksa berusaha keras esok untuk memenangi baki dua pusingan jika mahu mengekalkan kejuaraannya tahun lepas.

Willliam, dalam sidang media selepas tamat perlumbaan, melahirkan rasa kecewa kerana gagal mempamerkan aksi cemerlang sehingga pasukannya menduduki antara tempat tercorot di antara 12 pasukan yang bersaing pada kejohanan ini.

"Kami datang ke sini untuk menang tetapi masih belum menduduki tempat baik untuk mencapai kejayaan. Saya harap untuk melakukan terbaik pada dua pusingan akhir dalam acara 'round robin' supaya dapat melangkah ke suku akhir," katanya.

Dalam pada itu, pelayar negara Hazwan Hazim dari pasukan Taring Pelangi ternyata bukan tandingan untuk pasukan asing dalam sirkit terakhir WMRT itu apabila gagal mengutip sebarang mata.

No comments:

Post a Comment