Friday, December 4, 2009

Pensijilan Label GI MyIPO Lindungi Jenama Tempatan

Pensijilan Label Petunjuk Geografi (GI) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) berperanan melindungi produk-produk tempatan daripada dieksploitasi pihak tidak bertanggungjawab menggunakan jenama yang sama untuk mengaut keuntungan dalam dan luar negara.

MyIPO berkata produk-produk makanan yang boleh mendapat pengiktirafan menerusi pensijilan Label GI ialah Beras Kedah, Keju Langkawi, Cencaluk Melaka, Belacan Melaka dan Gula Melaka sementara produk bukan makanan ialah seperti Batik Terengganu dan Batik Kelantan.

Menurut kenyataan MyIPO di Kuala Lumpur semalam, setiap jenama yang memperolehi pensijilan Label GI merupakan instrumen penjenamaan berkesan untuk mempromosi barangan kerana produk tersebut telah mencapai piawaian yang ditetapkan MyIPO dari segi kawalan mutu dan kualiti.

"Pensijilan itu juga dapat memberi keyakinan kepada pengguna terhadap jenama sesuatu produk dan pada masa yang sama pensijilan itu merupakan jaminan kepada pemilik jenama itu ia tidak boleh ditiru dan digunapakai pihak lain yang hanya mahu mengaut keuntungan dalam masa yang singkat," kata kenyataan itu.


Sebagai contoh, Jenama Beras Bario dari Sarawak yang bakal memperoleh pensijilan Label GI pada Januari tahun depan akan dilindungi dan diiktiraf oleh MyIPO kerana beras berkenaan mempunyai kualiti, reputasi dan ciri unik yang berkait rapat dengan tempat asal geografinya yang mana dipengaruhi oleh faktor persekitaran seperti iklim dan tanah, menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, tuan punya Beras Bario mempunyai hak eksklusif untuk mengeksploitasi Beras Bario bagi mendapat pengiktirafan dalam dan luar negara.

Selain itu, antara produk makanan yang kini masih dalam proses pendaftaran untuk memperoleh pensijilan Label GI MyIPO ialah produk dari negeri Sabah seperti Kerepek Pisang Sekaki Tawau, Koko Tawau dan Belacan Kampung Laut Papar sementara dari Sarawak ialah Beras Bajong dan Beras Biris.

Tempoh perlindungan pensijilan petunjuk geografi yang berdaftar adalah selama 10 tahun dari tarikh pemfailan dengan MyIPO manakala pembaharuan pendaftaran boleh dibuat bagi setiap 10 tahun selagi ia mencapai piawaian yang ditetapkan oleh MyIPO.

Pengusaha produk atau orang ramai yang ingin maklumat lanjut mengenai pensijilan Label GI MyIPO boleh menghubungi pejabat Perbadanan Harta Intelek Malaysia di talian 03-26981102 atau melayari laman web di www.myipo.gov.my.

No comments:

Post a Comment