Wednesday, December 9, 2009

Anggota Tentera Ditahan Ragut Telefon Pengawal Keselamatan

Seorang anggota tentera yang bertugas di Kem Seberang Takir di sini diberkas bagi membantu siasatan kes ragut telefon bimbit milik seorang wanita di Perhentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Ahad lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Supt K. Manoharan berkata, kejadian berlaku semasa seorang pegawai keselamatan wanita berkenaan sedang menggunakan telefonnya di dalam sebuah bas yang masih belum memulakan perjalanan.

"Mangsa terkejut apabila tiba-tiba seorang lelaki yang datang dari arah belakang meragut telefon yang sedang digunakan itu lalu keluar dari bas dan melarikan diri. Beliau yang cuba mengejar namun lelaki itu berjaya meloloskan diri. Mangsa kemudiannya membuat laporan di balai Polis Daerah Kuala Terengganu," katanya semalam.
Tidak puas hati dengan kehilangan telefonnya, wanita itu telah pergi semula ke perhentian bas berkenaan semalam bagi mengesan suspek.

Katanya, setelah membuat intipan selama tiga jam, akhirnya beliau berjaya menemui lelaki terbabit yang berlegar-legar di sekitar kawasan itu lalu beliau segera menghubungi polis.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diberi, polis berjaya memberkas lelaki berkenaan dan merampas sebuah telefon bimbit serta sebuah motosikal bagi membantu siasatan.

Manoharan berkata, anggota tentera berumur 39 tahun itu kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana meragut.

No comments:

Post a Comment