Kejohanan Piala Monsun tahun ini dilihat berjaya mencatat peningkatan jumlah pengunjung apabila ribuan
penduduk tempatan dan pelancong mengunjungi Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Pulau Duyong dalam tempoh sehari sejak kejohanan itu bermula 2 hingga 6 Disember (kelmarin).
Bagaimanapun, salah seorang pelancong dari Kuala Lumpur, Ahmad Zakir Che Mamat, 28, berkata, hari terakhir kejohanan jatuh pada Ahad yang juga bukan hari minggu di negeri ini membatasi orang ramai untuk hadir bagi melihat perlawanan akhir kejohanan kapal layar berkenaan.
“Memang tidak dinafikan, pada Jumaat dan Sabtu, Pulau Duyong dipenuhi ribuan pelancong serta penduduk tempatan tetapi jumlah pengunjung pada hari terakhir agak berkurangan kerana jatuh pada hari bekerja, selain orang ramai hanya boleh datang selepas tamat waktu bekerja.
“Justeru, perkiraan tarikh perlu diambil perhatian pihak penganjur bagi Piala Monsun tahun depan,” katanya.
Menurutnya, cuti umum juga wajar diberikan kepada penduduk tempatan sempena hari terakhir kejohanan bertaraf dunia itu supaya lebih ramai dapat datang memeriahkan kejohanan itu pada masa akan datang.
Sementara itu, Syukri Deraman, 38, dari Kampung Bukit Payong, Marang, berkata, masalah kesesakan lalu-lintas yang berlaku di Pulau Duyong sepanjang penganjuran Piala Monsun tahun ini perlu diatasi penganjur dan pihak berkaitan supaya tidak berulang.
“Masalah kesesakan sangat teruk sepanjang Piala Monsun ini dan ketara berlaku kerana orang ramai hanya boleh menggunakan satu jalan sahaja untuk ke tempat kejohanan.
“Keadaan ini menyebabkan pengunjung malas untuk datang dan masalah ini harus diatasi kerana orang ramai semakin menunjukkan minat terhadap kejohanan kapal layar," katanya.
Sumber: Berita Harian
No comments:
Post a Comment