Tuesday, December 29, 2009

Azizulhasni, Fatihah Olahragawan Dan Olahragawati Terengganu


Azizulhasni Awang dan Fatihah Mustafa, kedua-duanya atlet berbasikal kebangsaan dipilih sebagai olahragawan dan olahragawati Terengganu 2007/2008.

Kedua-dua pelumba yang kini sedang mengikuti latihan di Australia, menerima hadiah wang tunai sebanyak RM7,000 seorang, di samping piala dan sijil.

Hadiah disampaikan oleh Menteri Besar Datuk Ahmad Said kepada ibu Azizulhasni, Selamiah Yong manakala Fatihah diwakili oleh ayahnya Mustapa Kassim, pada majlis penyampaian Anugerah Sukan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, malam Ahad lalu.
Anugerah tahunan tajaan kerajaan negeri itu dianjurkan sebagai pengikhtirafan dan perangsang kepada atlet dan penggiat-penggiat sukan di negeri ini.

Sementara itu, Mohd Harris Salleh dari sukan basikal dan Athirah Hamzah (menembak) masing-masing dipilih sebagai olahragawan-olahragawati harapan dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,500.

Anugerah Pasukan lelaki terbaik dimenangi oleh pasukan ragbi Sukma XII 2008 sementara pasukan boling padang Sukma XII 2008 pula sebagai pasukan terbaik wanita 2007/2008.

Dalam pada itu, bekas Menteri Besar Terengganu Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad dinobatkan sebagai Tokoh Sukan Terengganu sebagai mengikhtiraf sumbangan dan jasa-jasa beliau terhadap pembangunan bidang sukan di negeri ini.

Allahyarham Kamaruddin Maidin (bekas jaguh lompat kijang) dan Yahya Jusoh (bekas pemain bola sepak) pula masing-masing dipilih penerima anugerah Jasamu di Kenang.

Bagi kategori jurulatih terbaik pula dimenangi oleh Syed Mohd Husaini Syed Mazlan (basikal) dan Persatuan Silat Negeri Terengganu dipilih sebagai persatuan terbaik.

No comments:

Post a Comment