ATLIT kontinjen Terengganu yang mempamerkan aksi cemerlang pada Sukan Malaysia ke-XIII di Melaka, Jun tahun depan bakal menikmati durian runtuh apabila kerajaan negeri menjanjikan insentif RM3,000 untuk atlit yang meraih pingat emas, RM2,000 (perak) dan RM1,000 (gangsa).
Perkara itu diumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said pada majlis Anugerah Sukan Terengganu di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, malam kelmarin.
Selain itu, beliau turut mengumumkan berita gembira buat atlit negeri yang bakal menikmati peningkatan elaun RM390 mulai tahun depan, berbanding RM130 seorang sebelum ini.
“Kerajaan negeri menaruh harapan tinggi dengan insentif yang kita tawarkan serta peningkatan elaun sebanyak RM260 berbanding sebelum ini, atlit kita akan meningkatkan prestasi masing-masing untuk meraih pingat pada Sukma ke-XIII di Melaka nanti.
“Kita mahu kontinjen Terengganu mengekalkan kejuaraan kali kedua di Melaka. Hanya kerajaan Terengganu yang memberikan elaun bulanan kepada atlit kita dan ia diharap dapat menyuntik semangat serta menjadi dorongan untuk berlatih lebih kuat,” katanya.
No comments:
Post a Comment