Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) menyasarkan memperoleh pelaburan bernilai RM30 bilion dari Timur Tengah tahun depan dalam sektor pertanian, pengeluaran makanan, pelancongan dan pendidikan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Jebasingam Issace John semalam berkata majlis itu akan menganjurkan misi khusus ke negara anggota Majlis Kerjasama Teluk pada Mac 2010 bagi menarik pelaburan tambahan untuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur itu (ECER).
"Banyak perkara yang kita boleh kongsi (dengan pelabur Timur Tengah) di Pantai Timur. Antara pantai menarik di negara ini terletak di Terengganu dan Pahang, oleh itu kami akan dapatkan mereka untuk melihat kelompok pelancongan kita," katanya.
"Selain itu, terdapat industri pertanian, pengeluaran makanan dan industri halal, Ia merupakan antara bidang yang kami kenal pasti untuk kerjasama dan pelaburan," katanya kepada pemberita sempena Forum Perniagaan Arab-Malaysia di sini.
Jebasingam berkata menerusi portfolio pelabur yang bercampur-campur sedia ada, ECERDC boleh menjangkakan menambah pelaburan dari GCC dalam tempoh yang sesuai.
"Banyak perkara yang boleh kita kongsi. Pantai Timur secara asasnya mempunyai tradisi dan budaya Islam," katanya.
Ditanya sama ada masalah kewangan semasa Dubai akan menjejaskan rantau ini, beliau berkata: "Krisis atau tidak, pemintaan untuk makanan dan pertanian terus wujud dan industri halal merupakan sektor penting yang diperhatikan dunia ketika ini."
Beliau bagaimanapun berkata wilayah ekonomi itu tidak semata-mata memberi tumpuan terhadap Timur Tengah malah turut menyasarkan Asia Pasifik. (Sumber BERNAMA)
No comments:
Post a Comment