Tuesday, December 1, 2009

Terengganu dilanda banjir semula

Berikutan hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas, Terengganu dilanda banjir semula dengan 241 penduduk dari tiga buah kampung di daerah Marang dipindahkan ke pusat pemindahan sejak petang semalam hingga pagi ini.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berkata, penduduk yang dipindahkan terdiri daripada penduduk Kampung Paya Kijing seramai 168 orang, Kampung Seberang Marang (65) dan Kampung Pulau Kerengga (8).

Beliau berkata, setakat ini tiga pusat pemindahan telah dibuka untuk menempatkan mangsa terbabit dengan kebanyakan mereka mula berpindah mulai jam 6 petang semalam sehingga pagi ini.
Katanya, setakat ini bilik gerakan banjir MKN masih belum dibuka dan hanya akan berbuat demikian apabila banjir berlaku di lebih daripada satu daerah.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Pengairan dan Pengairan (JPS) negeri berkata, paras air semua sungai utama di Terengganu masih berada pada tahap biasa.

Banjir musim tengkujuh pertama kali melanda Terengganu awal bulan lalu manakala gelombang kedua yang menyaksikan lebih 10,000 penduduk dari semua daerah di negeri itu terpaksa dipindahkan berlaku sejak 23 November lalu dan hanya berakhir Ahad lalu.
Setakat ini, tiga kematian dicatatkan akibat banjir membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun, Tuan Nor Farah Amira Tuan Harun yang lemas ketika bermain di tepi Sungai Terengganu di Kampung Getang, Telemong, Hulu Terengganu, 7 November lalu.

Mangsa kedua membabitkan seorang pelajar berumur 15 tahun dari Kuala Besut, Mohd Syahmi Mohd Yusof, yang lemas pada 24 November, manakala mangsa ketiga, Muhammad Aifa Afif Mohd Yusof, 13, dari Marang, lemas ketika mandi bersama rakannya pada 25 November lalu.
Semalam, Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora kategori pertama yang melanda perairan Condore dan Samui (Kelantan dan Terengganu) akan berterusan sehingga hari ini.
Jabatan itu dalam kenyataannya turut berkata angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di perairan itu bermula 4 hingga 6 Disember ini.

Sehubungan itu kawasan Pantai Timur Semenanjung (Kelantan dan Terengganu) terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut.

Keadaan ini berbahaya kepada bot-bot kecil, aktiviti rekreasi laut dan sukan laut, kata kenyataan itu.

Jabatan itu turut mengeluarkan amaran hujan lebat peringkat kuning yang dijangka turun di beberapa daerah di Pahang (Kuantan, Pekan dan Rompin) selain di Terengganu dan Johor.

Keadaan ini dijangka berterusan sehingga esok.

Kenyataan itu turut memberi amaran hujan lebat dari satu masa ke satu masa dan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan rendah berdekatan tebing sungai.

Sementara itu ribut petir yang berlaku di perairan Johor Barat, Johor Timur, Pahang, Terengganu, Bunguran, Condore dan Reef North dijangka berterusan sehingga malam ini.

Keadaan ini menyebabkan angin kencang sehingga 40 kmsj dan laut bergelora dengan ombak mencapai ketinggian 2.5 meter dan berbahaya kepada bot-bot kecil.

No comments:

Post a Comment