Friday, December 4, 2009

Jumlah penagih dadah Terengganu menurun

Jumlah penagih dadah yang sebelum ini merimaskan masyarakat khususnya penduduk negeri ini mula menunjukkan penurunan sebanyak 74.67 peratus dalam tempoh bulan Januari hingga Oktober tahun ini.


Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri, Rujhan Ramli berkata, sepanjang tempoh itu seramai 116 penagih dadah telah ditahan dan direkodkan berbanding tahun 2008 sebanyak 458 orang.

Katanya, bagaimanapun masyarakat tidak boleh leka dengan jumlah tersebut memandangkan jumlah itu bakal meningkat pada bila-bila masa sahaja jika tidak diawasi.

"Walaupun negeri ini berada di tangga ke sembilan di seluruh negara namun ia tidak bermakna masyarakat perlu mengambil mudah sahaja untuk sama-sama bekerjasama membanteras penyalahgunaan dadah," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Satu Suara Satu Tujuan Satu Malaysia di Menara Yayasan Islam Terengganu semalam.

Rujhan menambah, setakat bulan Januari hingga Oktober lalu, kes penagih baru juga menurun iaitu seramai 94 orang berbanding 361 orang manakala penagih ulangan seramai 22 orang ditahan berbanding 97 orang tahun lalu.

Jelasnya, selain itu, sehingga bulan Oktober ini, bilangan kes pemulihan dalam komuniti di negeri ini yang direkodkan adalah seramai 1,707 orang.

"Mereka terdiri daripada bekas penagih yang telah menjalani pemulihan di institusi (187), dijatuhkan hukuman oleh mahkamah (318), dibebaskan dari penjara (1,165) dan kes sukarela (37) orang," jelasnya.

Dalam pada itu, beliau juga meminta golongan guru lebih serius membantu AADK membanteras dadah di kalangan pelajar sekolah.

Beliau turut melahirkan rasa kecewa kerana terdapat segelintir guru yang tidak faham apa yang dimaksudkan dengan dadah.

No comments:

Post a Comment