Friday, December 4, 2009

Terengganu kenal pasti masalah infra elak banjir

Kerajaan Terengganu telah melaksanakan kajian menyeluruh di seluruh negeri bagi mengenalpasti kawasan bermasalah untuk memastikan ia bebas banjir ekoran infrastruktur yang tidak sempurna.


Sehubungan itu Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Yahya Khatib Mohamad berkata, kerajaan negeri telah menyediakan peruntukan bagi melaksanakan kerja-kerja baikpulih kemudahan infrastruktur berkenaan.

Beliau memberitahu, kebanyakan sistem longkang dan jalan raya di beberapa kawasan yang sering banjir tidak teratur dan rosak teruk.

''Daripada pemantauan, masalah utama beberapa kawasan yang sering dilanda banjir contohnya di sekitar Marang adalah disebabkan ketiadaan longkang dan jika ada terlalu sempit dan cetek.

"Ia menyebabkan aliran air hujan yang lebat tidak dapat ditampung dan mudah menyebabkan banjir walaupun hujan beberapa jam, justeru kita akan mengumumkan peruntukan berkenaan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) nanti," jelasnya.

Beliau menyatakan demikian selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bantuan Banjir 2009 di Masjid Sultanah Nur Zahirah di Marang semalam.

Turut hadir Pegawai Daerah Marang, A. Rahman Che Ali.

Pada majlis itu, seramai 393 mangsa banjir di sekitar Marang menerima bantuan RM300 bagi meringankan beban mereka yang kediaman mereka dilanda banjir sejak 21 November lalu.

Bagaimanapun hanya mangsa banjir yang berpindah ke pusat pemindahan sahaja diberikan bantuan tersebut.
Dalam pada itu Yahya berharap mangsa banjir yang ditempatkan di beberapa pusat pemindahan bersabar dan menerima dugaan banjir itu sebagai ujian dari Allah.

Jelasnya, ini berikutan ada sesetengah mangsa banjir mengeluh dan melahirkan rasa tidak puas hati dengan layanan dan persediaan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Banjir (MKN) dan Pejabat Daerah.

"Kerajaan negeri akan menambah nilai dari semasa ke semasa bantuan, layanan dan persediaan kepada mangsa-mangsa banjir tersebut bagi memberi mereka keselesaan.

"Bagaimanapun mereka juga perlu faham yang ada beberapa keadaan yang tidak mengizinkan pihak kita untuk melaksanakan,'' katanya.

Sumber: UtusanOnline

No comments:

Post a Comment